Kadar subsidi terlalu rendah, PSP dianggap tak ikhlas
SHAH ALAM - Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang diumumkan oleh kerajaan dianggap tidak ikhlas berikutan jumlah pemberiannya terlalu rendah dan tidak membantu rakyat secara keseluruhan.
Ketua Pemuda Parti Ikatan Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, pihaknya berasa curiga dengan tindakan kerajaan yang sangat berkira untuk membantu rakyat di negara ini menerusi pelaksanaan PSP tersebut.
Shahir berkata, tempoh pembayaran subsidi tersebut kepada rakyat juga agak lambat berikutan pemberian itu hanya dibuat dalam tempoh setiap empat bulan.
"Penerima bantuan untuk motosikal ialah RM12 sebulan atau RM144 setahun. Ini bermakna rakyat B40 hanya menerima bantuan subsidi selama 40 sen sehari.
"Kadar subsidi tersebut sangat rendah dan rakyat bukannya bahan jenaka untuk diperkotak-katikkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Shahir berkata, pihaknya memandang serius terhadap pelaksanaan program ini yang tidak adil dan turut mengetepikan golongan M40.
Beliau berkata, kerajaan dilihat tidak membantu golongan M40 yang merupakan pembayar cukai malah majoriti daripada mereka adalah anak muda yang menyumbang kepada pendapatan negara.
"Program ini juga tidak adil kerana hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia dan adakah ini 'gula-gula' politik ke arah Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak nanti? soalnya.
Tambah Shahir, Pemuda Ikatan turut menggesa kerajaan bersikap telus dan memberikan penjelasan kepada rakyat ke mana wang hasil program subsidi ini sebanyak RM6 bilion setiap tahun akan dibelanjakan.
"Ke manakah perginya duit-duit ini? Aset-aset negara dijual tetapi hutang negara makin meningkat. Ini adalah suatu keadaan ekonomi yang tidak masuk akal," katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan harga petrol RON95 akan diapungkan bermula awal tahun hadapan berikutan pelaksanaan PSP tersebut.
Katanya, harga RON95 akan dikekalkan pada kadar RM2.08 sehingga 31 Disember depan.
ARTIKEL BERKAITAN: Bayaran subsidi petrol dikredit empat bulan sekaliMuat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!