Jeritan abang temukan mayat adik

Kenangan... Sofia mendukung Anas (baju hijau) bersama tiga anaknya yang lain.
Kenangan... Sofia mendukung Anas (baju hijau) bersama tiga anaknya yang lain.
A
A
A

IPOH - Jeritan abang membawa kepada penemuan mayat adiknya berusia 3 tahun yang terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Kuarters Polis, Balai Polis Pasir Puteh di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Muhamad Anas Hadif Ahmad Hafiz ditemukan lemas oleh pasukan bomba selepas 30 minit operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Bapanya, Lans Koperal Ahmad Hafiz Mustafa, 32, berkata, dia bersama isterinya, Sofiah Mohd Teridi, 32, bergegas turun dari tingkat tiga rumah pangsa berhampiran selepas terdengar jeritan kuat daripada anak ketiga mereka, Muhamad Asyraf, 6.

"Kami berada di rumah terdengar jeritan kuat mereka, saya kelam kabut turun ke bawah kerana ingatkan mereka terlibat kemalangan. Setibanya di bawah, saya tidak nampak Anas melainkan Muhamad Syakir Zufairi, 7, dan Asyraf sahaja.

"Selepas mendapatkan mereka, saya nampak penutup lubang kumbahan terbuka. Lihat sahaja ke dalam saya nampak selipar dipakai anak terapung. Saya cam selipar dia," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Menurutnya, mangsa bersama dua abangnya sering bermain di lokasi kejadian.

"Mereka selalu bermain di kawasan lapang yang terletak di belakang Balai Polis Pasir Puteh itu termasuk semalam, tetapi saya tidak sangka penutup lubang itu sebenarnya sudah terbuka.

"Anas anak yang manja. Dia rapat dengan kami semua, kalau nak ke mana-mana pasti dia nak ikut sekali. Baru sebulan pindah ke sini dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik apabila anak sulung mereka, Mohamad Syafiq, 10, menangis teresak-esak selepas keluar daripada melihat jenazah adiknya.

Ahmad Hafiz bersama isterinya, Sofia mengangkat jenazah anak bongsu mereka untuk dikebumikan di Lekir hari ini. (Gambar kecil: Ahmad Hafiz)
Ahmad Hafiz bersama isterinya, Sofia mengangkat jenazah anak bongsu mereka untuk dikebumikan di Lekir hari ini. (Gambar kecil: Ahmad Hafiz)

Difahamkan, keluarga mangsa baru sebulan tinggal di kuarters berkenaan selepas Ahmad Hafiz ditukarkan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung ke Cawangan Kem Komandan, Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tiram, Lekir, Manjung.

Penutup senang dibuka

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kemalangan itu berlaku apabila penutup lubang tersebut dipercayai dibuka oleh kumpulan kanak-kanak.

"Siasatan awal mendapati penutup lubang itu adalah jenis besi yang boleh dibuka dan pemantauan sebelum ini mendapati ia sentiasa tertutup.

"Dipercayai penutup lubang itu telah dialihkan sejak semalam tanpa ditutup. Ia satu kemalangan dan bukanlah dibiarkan tanpa ditutup," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Mohd Fadzeli Che Hussin berkata, seramai 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi.

“Anggota bertindak menggunakan pam untuk mengeluarkan sebahagian air kumbahan untuk memudahkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Seorang anggota dipakaikan abah-abah dan tali untuk mencari mangsa di dalam lubang terbabit pada kedalaman dua meter dan menemui mangsa pada jam 9 pagi,” katanya.

Menurutnya, anggota memberi bantuan pernafasan (CPR) setelah mangsa berjaya dikeluarkan.

“Bagaimanapun pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak maut jatuh lubang kumbahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!