Penyertaan Salleh Keruak dalam PKR bimbangkan ahli, pemimpin

Salleh Keruak
Salleh Keruak
A
A
A

KOTA KINABALU - Permohonan Datuk Seri Salleh Keruak yang ingin sertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pimpinan serta ahli parti itu terutama di negeri ini, kata Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud.

Mustapha yang juga Ketua Cabang Kota Belud berkata, kemasukan Salleh yang sebelum ini dikenali sebagai ‘The Last Samurai For Najib’ dikhuatiri menjadi liabiliti kepada PKR yang dikenali sebagai parti penggerak reformasi dan politik perubahan berdasarkan nilai kebenaran dan keadilan.

“Pengalaman dalam membina semula Kota Belud dengan membawa politik nilai (kebenaran dan keadilan) yang bertembung dengan budaya politik wang yang mengakar di bawah pimpinan lama memang sukar untuk dilupakan.

"Perjuangan reformasi yang kita angkat diperlekeh dan wang menjadi taruhan utama untuk mempertahankan kuasa. Saya boleh memaafkan tetapi amat sukar untuk melupakan sejarah pemimpin yang sentiasa menafikan potensi pimpinan terutama di kalangan generasi muda. Saya boleh berjiwa besar tapi tidak akan berkompromi dengan prinsip perjuangan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Jumaat lepas, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengesahkan parti itu menerima permohonan Salleh secara dalam talian untuk menganggotai PKR.

Sehubungan dengan itu Mustapha berharap pimpinan parti perlu menilai secara adil antara pejuang reformasi dan ‘The Lost Samurai’ itu.

Beliau berkata, Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina walaupun dikatakan lemah tetapi tercatat dalam sejarah sebagai Pengerusi PKR Negeri yang berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Naaional setelah berjuang selama 20 tahun.

Katanya hubungan baik dengan Ketua Menteri Sabah telah banyak membuka ruang kepada pimpinan dan ahli-ahli parti mendapat manfaat sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan Negeri.

Artikel Berkaitan:

"Ironinya yang mendapat dan menikmati jawatan penting yang disokong beliau (Christina) selaku Timbalan Ketua Menteri sekarang ini menjadi penyokong utama kemasukan Datuk Salleh ke dalam parti," katanya.

Justeru, beliau berharap pimpinan PKR Pusat terutama Presiden Parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membuat penilaian dan pertimbangan yang adil.

"Kami sayangkan parti yang kami dokong sejak 20 tahun dan mahukan agar laluan untuk menjadi Perdana Menteri Kelapan dipermudahkan.

"Jangan persiakan harapan rakyat yang ingin melihat politik perubahan berlaku. Ramai lagi pejuang-pejuang yang tidak didendang perlu diberi perhatian daripada menambah liabiliti kepada parti," kata Mustapha. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!