Perbahasan RUU Antiberita Tidak Benar kecoh
KUALA LUMPUR - Sesi petang Dewan Rakyat hari ini kecoh dengan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 oleh Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang).
Ketika perbahasan itu, Noh mempersoal kenyataan Veteran DAP, Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) yang mencadangkan parti itu menubuhkan jawatankuasa khas perangi berita palsu ciptaan UMNO dan Pas, sedangkan dalam masa yang sama meminta akta itu dimansuhkan.
Menurut Noh, keadaan itu memperlihatkan kerajaan hari ini bukan sahaja 'caca marba' dan tiada perancangan, malah tidak konsisten dalam membuat keputusan penting.
"Pemimpin DAP (juga) nampak perlu ada akta yang baharu untuk perangi berita palsu di media sosial hari ini, tetapi kena hendak mansuhkan (RUU Antiberita Tidak Benar) hanya kerana ia diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: RUU mansuh Antiberita Tidak Dibenar dibentang semula
Kenyataan Noh itu bagaimanapun menimbulkan perasaan kurang senang Cha Kee Chin (PH-Rasah) sebelum turut disambut oleh RSN Rayer (PH-Jelutong).
Beberapa pemimpin pembangkang daripada Pas juga tampil mempertahankan Noh dan menyokong akta berkenaan.
Shaharizukirnain Abd Majid (Pas-Setiu) berkata, Akta Antiberita Tidak Benar seharusnya dilihat sebagai pelengkap kepada akta sedia ada untuk mengekang penyebaran berita palsu di laman sosial.
"Ini sebahagian daripada pendirian (sokong Akta Antiberita Tidak Benar) Pas. Ia hadir tepat pada masanya (gelombang media sosial).
"Tetapi apa yang menjadi persoalan, mengapa kerajaan terdesak mansuh akta ini, sedangkan PH tidak terkecuali dan tidak terlepas daripada fitnah," katanya.
Bagaimanapun, suasana kembali tenang selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohammad Arif Md Yusof meminta ahli dewan supaya bertenang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!