'13 tahun menanti zuriat, ALLAH makbulkan doa'

Nor'adn bersama suami dan bayi mereka yang dilahirkan di PRIBA, HSNZ, semalam.
Nor'adn bersama suami dan bayi mereka yang dilahirkan di PRIBA, HSNZ, semalam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penantian sepasang suami isteri selama 13 tahun untuk mendapatkan zuriat akhirnya menjadi kenyataan apabila bayi sulung mereka selamat dilahirkan melalui kaedah Persenyawaan In-Vitro (IVF).

Bayi lelaki seberat 3.34 kilogram itu dilahirkan di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada jam 8.38 pagi semalam.

Lebih membanggakan, bayi kepada Noor'adn Muhammad, 38 dan Mohd Yuhairil Haniff Yoon, 37, menjadi bayi pertama dilahirkan menggunakan kaedah pemindahan embrio beku atau Procedure Frozen-Thaw Embryo Transfer (FET).

Bayi yang bakal diberikan nama Muhamad Syaqif Muttaqin itu adalah bayi ke-118 yang dilahirkan menerusi kaedah IVF di hospital itu.

Pakar Obstetrik, Ginekologi dan Reproduktif (O&G), Dr Nasuha Yaacob berkata, kaedah pemindahan embrio beku itu dilakukan selepas enam tahun memandangkan kondisi Noor'adn tidak mengizinkan dia hamil selepas dua kali keguguran.

Beliau berkata, Noor'adn telah menerima rawatan infertiliti di HSNZ sejak 2011 dan telah menjalani IVF pada 2012 namun mengalami keguguran ketika kandungan berusia dua bulan.

"Dia berjaya hamil lagi pada Julai 2013 dengan mendapat pasangan kembar tetapi malang bayi mereka keguguran ketika 20 minggu dalam kandungan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pasangan suami isteri ini bersyukur dikurniakan zuriat lelaki setelah 13 tahun menanti.
Pasangan suami isteri ini bersyukur dikurniakan zuriat lelaki setelah 13 tahun menanti.

Katanya, pesakitnya itu kembali ke HSNZ untuk rawatan FET pada 2018 dan disahkan hamil pada Februari 2019.

"Sepasukan pakar O&G HSNZ terdiri daripada Pakar Reproduktif dan Pakar Feto-Maternal memastikan kehamilan kali ini tidak mengalami sebarang komplikasi," katanya.

Kadar kehamilan IVF di HSNZ kini mencecah 40 peratus pada 2019 iaitu meningkat berbanding 30 peratus pada 2018, 28 peratus (2017) dan 26 peratus (2016).

Sementara itu, Noor'adn ketika ditemui bersyukur kerana dikurniakan anugerah terindah itu.

"ALLAH SWT telah makbulkan doa kami. Saya dan suami amat gembira kerana penantian untuk memiliki zuriat selepas 13 tahun berkahwin menjadi kenyataan. Saya juga berharap bayi kami ini membesar dengan sihat," katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Sementara itu, Mohd Yuhairil Haniff berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak terutama kakitangan hospital yang memberikan sokongan.

"Sepanjang 11 tahun isteri saya menerima rawatan di sini, perkhidmatan yang diberikan begitu baik. Saya begitu menghargai sokongan dan perhatian yang diberikan kepada kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!