Guna media sosial sebar penghayatan Rukun negara

P Waytha Moorthy - Foto Bernama
P Waytha Moorthy - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menyeru generasi Y serta golongan mahasiswa menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan kepentingan penghayatan Rukun Negara bagi memupuk semangat perpaduan dan sikap patriotisme.

Dalam dunia tanpa batas hari ini katanya, generasi muda sentiasa terdedah kepada pelbagai maklumat, dengan statistik terkini menunjukkan kira-kira 24.6 juta rakyat Malaysia adalah pengguna media sosial tegar.

"Platform media sosial tidak harus menjadi medan untuk berkongsi perkara-perkara atau komen-komen negatif yang boleh menyentuh sensitiviti antara kaum,” katanya ketika berucap menutup Forum Perpaduan Sekretariat Rukun Negara (SRN) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Forum sehari bertemakan 'Rukun Negara Bukan Sekadar Untuk Dihafal' itu bertujuan meningkatkan pengetahuan penghayatan Rukun Negara di kalangan mahasiswa yang menjadi ahli SRN.

SRN diwujudkan di 169 institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), kolej matrikulasi, kolej komuniti dan politeknik.

Waytha Moorthy yang menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial berkata mahasiswa harus menggunakan teknologi dengan berhemah dan bertanggungjawab serta menjadi pencetus idea-idea intelektual untuk mencorak negara ke arah pencapaian gemilang.

Beliau berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini hanya akan tercapai apabila rakyat Malaysia menghidupkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan seharian.

"Hanya melalui penghayatan Rukun Negara yang menyeluruh, kesepakatan dan kebersamaan akan sentiasa terjalin sesama kita," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ketika ditemui selepas majlis, Waytha Moorthy enggan mengulas semasa dirujuk mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Kongres Maruah Melayu hujung minggu lepas menjadi platform untuk menyampaikan ucapan kebencian dan kenyataan perkauman.

"Setiap orang berhak untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan. Sekiranya ucapan (di kongres) itu salah, saya difahamkan ada beberapa orang telah membuat laporan, dan kita biarkan pihak berkuasa memutuskan apa yang dilakukan, saya tidak perlu membuat apa-apa komen," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!