Anggota polis maut kemalangan

Seorang anggota polis maut akibat kemalangan di hadapan stesen minyak Kampung Dusun, Kulim. Gambar kecil: Allahyarham Muhammad Zarith
Seorang anggota polis maut akibat kemalangan di hadapan stesen minyak Kampung Dusun, Kulim. Gambar kecil: Allahyarham Muhammad Zarith
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang anggota polis maut dalam kemalangan di hadapan sebuah stesen minyak di Kampung Dusun, Kulim, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu mangsa, Lans Koperal Muhammad Zarith Mat Rizan, 27, beralamat di Taiping, Perak maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang bertugas di cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dalam perjalanan dari arah Kelang Lama menghala ke Kulim.

"Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun dari arah Pekan Kulim menghala ke Kelang Lama membelok ke kanan untuk ke stesen minyak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal di laluan bertentangan tidak sempat mengelak lalu berlaku perlanggaran akibat jarak terlalu dekat.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!