Jabatan Penjara nafi insiden banduan akhir dipukul
KAJANG - Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan seorang banduan akhir di Penjara Sungai Buloh dipukul ketika tidur dan dihalang daripada membuat laporan polis, minggu lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sri Zulkifli Omar berkata, hasil siasatan mendapati banduan lelaki itu bertindak agresif semasa pegawai menjalankan pemeriksaan rutin.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati banduan itu memiliki bahan terlarang iaitu tembakau seberat 163 gram.
"Isu sebenarnya adalah banduan berkenaan didapati memiliki bahan terlarang itu.
"Jadi bila pegawai membuat pemeriksaan rutin dalam blok, dia membuat provokasi dan menghalang tugas pegawai," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Psikologi Jabatan Penjara Malaysia di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di sini hari ini.
Susulan kejadian itu, banduan berkenaan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan dan tidak mengalami kecederaan serius.
Zulkifli berkata, tiada halangan daripada pihaknya jika banduan itu ingin membuat laporan polis.
“Kita beritahu, kalau nak buat laporan, buat lah.. Mula-mula dia sendiri yang enggan buat laporan, tetapi kemudiannya menukar fikiran dan membuat laporan polis dua hari kemudian,” katanya.
Satu laporan polis dibuat oleh banduan itu di Ibu Pejabat Polis Sungai Buloh pada 3 Oktober lalu.
Pada minggu lalu, tular di media sosial mengenai seorang wanita yang dikatakan tidak berpuas hati dengan layanan pihak penjara terhadap seorang banduan akhir lelaki, yang mendakwa dirinya dipukul dalam bilik semasa tidur, dan dipukul lagi di luar bilik di samping dihalang untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!