Remaja dikecam makan daging kuda sendiri
TRONDELAG - Seorang remaja dari Norway menerima ancaman bunuh selepas mendedahkan dia memakan daging kuda miliknya yang terpaksa 'dimatikan'.
Pia Olden, 18, menceritakan menerusi laman Facebook pada Jumaat lalu bahawa keluarganya menyimpan daging kudanya bernama Drifting Speed dalam peti sejuk beku selepas haiwan berkenaan terpaksa 'dimatikan' akibat jatuh sakit pada tahun lalu.
Olden, seorang cef perantis dan juga seorang ekuestrian dilaporkan menyajikan daging kuda yang telah dimasak itu dengan hirisan cili dan mangga.
"Sekiranya saya mahu memakan daging kuda, lebih baik ia kuda milik saya sendiri," tulis Olden di laman Facebook.
Bagaimanapun, tindakan Olden dan keluarganya yang merupakan petani di Trondelag, tengah Norway itu menerima kecaman hebat selain ugutan bunuh.
"Ramai mengatakan saya juga patut dibunuh kerana memakan daging kuda saya sendiri sementara seorang lagi berkata, saya tidak harus dibenarkan memelihara haiwan," kata Olden kepada akhbar Dagbladet.
Olden berkata, memakan daging Drifting Speed merupakan cara terbaik untuk menghargai kuda jantannya itu.
Meskipun terpaksa memadamkan muat naik asal berikutan pelbagai respons yang diterima, Olden tetap bertegas bahawa daging kuda merupakan sejenis makanan istimewa dan kudanya itu memang terpaksa 'dimatikan'. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!