Permintaan Nanas MD2 cecah 100,000 setiap bulan
CHANGLUN - Permintaan tinggi nanas jenis MD2 menggalakkan seorang pengusaha tanaman itu di Kampung Padang Satu, Changlun dekat sini merancang meluaskan lagi kawasan yang kini sudah menjangkau lebih 12 hektar.
Pengarah Ber One Agro Sdn Bhd, Zulkafli Saidin berkata, sehingga kini beliau telah menanam sebanyak 300,000 pokok nanas jenis MD2 namun masih gagal memenuhi permintaan yang tinggi di pasaran.
Menurutnya, nanas ditanam khas untuk tujuan eksport ke luar negara namun buat masa sekarang masih belum mampu melakukannya berikutan gagal memenuhi permintaan tinggi dalam negara.
"Sepanjang 16 tahun saya berkecimpung di dalam tanaman nanas ini, nanas jenis MD2 paling terbaik dan mendapat sambutan yang cukup tinggi.
"Setiap bulan ladang Ber One Agro Sdn Bhd menghasilkan kira-kira 20,000 nanas jenis MD2 namun saya masih lagi gagal memenuhi permintaan. Ladang ini hanya mampu memenuhi permintaan sehingga ke Pulau Pinang sahaja,"katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Zulkafli berkata, beliau mensasarkan untuk menanam sebanyak 100,000 pokok nanas MD2 setiap bulan di suatu kawasan yang sudah dikenalpasti.
"Bermula Disember saya akan cuba menanam 100,000 pokok nanas jenis MD2 dalam usahamemenuhi permintaan tersebut,"katanya.
Baru-baru ini, ladang tersebut menerima kunjungan rombongan Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk meninjau tanaman itu,
Kira-kira 100,000 buah dari ladang ini akan dijual pada harga ladang di Kedah FAMA Fest 2019 di Pusat Operasi FAMA Sungai Petani pada 17 hingga 20 Oktober ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!