Pegawai polis antara 4 ditahan kes pemerasan di Brickfields
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis antara empat individu yang dipercayai terlibat dalam pemerasan di Brickfields telah ditahan, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan perkara tersebut memaklumkan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai dan anggota polis yang terlibat aktiviti pemerasan atau jenayah lain.
"Kita pandang serius perkara ini dan tidak sepatutnya pegawai polis melakukan tindakan sedemikian kerana polis sepatutnya melindungi rakyat.
"Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang terlibat dan siasatan sedang dijalankan,” katanya pada sidang media selepas hadir ke program Kepolisan Berprofil Tinggi di Pavilion di sini, hari ini.
Mazlan berkata siasatan awal mendapati cara pemerasan yang digunakan dalam kes itu mirip kumpulan gangster tertentu.
“Cara mereka buat pemerasan ala-ala gangsterisme dan kita sedang lihat gangster mana,” katanya.
Sinar Harian difahamkan empat individu berusia 30-an ditahan kerana terlibat aktiviti pemerasan di sebuah kawasan pembinaan di Brickfields.
Pegawai polis dan tiga lagi individu itu dipercayai meminta sejumlah wang bagi melindungi tapak pembinaan daripada sebarang gangguan.
Siasatan kes itu mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.
Dalam perkembangan berasingan Mazlan memaklumkan kehadiran polis di kawasan tumpuan pelancong seperti Pavilion diharap dapat mengurangkan kejadian jenayah.
“Saya juga menasihatkan orang ramai yang menjadi mangsa penyeluk saku membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!