Anak muda perlukan peluang pekerjaan 'bermaruah'

Hazwan Mohamad - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Hazwan Mohamad - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan golongan belia mendapat peluang pekerjaan yang benar-benar membuat mereka mampu mengatasi tekanan kos sara hidup sedia ada dan juga tekanan masa depan.

Ketua Penerangan Parti Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad berkata, menerusi Belanjawan 2020, penekanan perlu dibuat bagi memastikan peluang pekerjaan yang mahu ditawarkan kepada anak muda adalah bermaruah.

"Bermaruah dari segi yang setimpal gajinya. Bukan cadangkan Gojek masuk, bukan cadang buat sepenuh masa Foodpanda.

"Beri peluang pekerjaan, beri dana yang betul-betul mampu angkat anak muda ini mampu menghadapi tekanan masa hadapan, hadapi tekanan kos sara hidup dalam bandar-bandar besar negara kita," katanya pada Wacana Sinar Siri 132: Belanjawan 2020: Apa Rakyat Dapat di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 di sini, malam ini.

Hazwan berkata, golongan B40 dan M40 yang termasuk dalam kategori miskin bandar juga perlu diberi penekanan dalam Belanjawan 2020.

"Dengar rintihan orang hidup dalam bandar. Golongan B40 dan M40, mereka ini tidak mendapat penekanan dan insentif yang benar-benar baik daripada kerajaan dulu hingga sekarang ini.

"Jangan sisihkan miskin bandar. Julat perbezaan antara yang kaya dan miskin semakin tinggi saban tahun. Minda kapitalis tidak boleh memberi kemenangan kepada rakyat jelata," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan kerajaan agar tidak mengulangi 'bajet malapetaka' terhadap golongan luar bandar.

"Bajet 2019 adalah bajet malapetaka kepada ibu ayah di kampung. Subsidi baja dikurangkan, subsidi nelayan ketika musim tengkujuh dikurangkan. Banyak yang mengundi Pakatan Harapan (PH) tidak diberikan penghargaan yang secukupnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!