Pemuzik dari tapak pembuangan sampah
PHNOM PENH - Selain menjadi tempat tinggal sebahagian besar warga miskin Kemboja, tapak pembuangan sampah Stung Meanchey berhampiran Phnom Penh merupakan lubuk rezeki kira-kira 2,000 orang termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak yang menyelongkar timbunan sampah bagi mencari barang kitar semula untuk dijual.
Bagi tiga anak muda bernama Sok Vichey, Ouch Theara dan adiknya, Ouch Hing yang dilahirkan di tapak pembuangan sampah yang sudah ditutup operasi itu, ia satu-satunya tempat mereka berteduh.
"Kami selalu tiada makanan dan terpaksa berjalan di sekitar bandar sambil membawa beg plastik untuk mengutip tin yang boleh dijual.
"Kami juga tidak bersekolah. Kami tiada pilihan lain," kata Vichey yang berusia 18 tahun.
Theara yang kematian ibu pula terpaksa tinggal bersama ibu saudara dan tujuh sepupunya dalam sebuah rumah sempit di Stung Meanchey.
Sementara Vichey yang berjiran dengan Theara membantu ibunya mencari rezeki dalam timbunan sampah dan hanya mampu memperoleh beberapa dolar setiap hari.
Menginjak ke usia remaja, keluarga Theara, Hing dan Vichey semakin dihimpit kemiskinan dan mereka terpaksa diletakkan di bawah jagaan NGO tempatan, Moms Against Poverty.
Di sana mereka bertemu seorang pekerja sosial bernama Timon Seibel.
Menurut Seibel, zaman kanak-kanak ketiga-tiga remaja berkenaan di tapak pembuangan sampah itu menjadikan mereka individu yang pemarah.
Seibel mencuba pelbagai cara untuk meredakan kemarahan mereka terutama sekali Theara yang adakala bersikap ganas namun semua usahanya gagal.
Buntu, Seibel yang juga seorang peminat muzik metal membawa Theara, Hing dan Vichey menonton persembahan artis Kemboja, Sliten6ix di sebuah bar di Phnom Penh dan ia berjaya menarik minat mereka bertiga.
Seibel kemudian memperkenalkan mereka dengan muzik daripada artis seperti Slipknot dan dalam sekelip mata mereka menyukainya muzik agresif tersebut.
"Saya menyukai muzik metal kerana kami boleh menjerit dan menyuarakan kemarahan kami," kata Vichey.
Bermula dari situ, ketiga-tiga remaja berkenaan mengambil keputusan menubuhkan sebuah kumpulan muzik metal diberi nama Doch Chkae.
Bermakna 'seperti anjing', Doch Chkae mahukan nama yang mewakili bagaimana masyarakat melayan mereka sebagai pengutip sampah yang hidup susah.
Kumpulan itu mula bermain di sekitar Phnom Penh pada tahun 2015 sebelum mengorak langkah dalam arena muzik metal dunia apabila diundang untuk membuat persembahan di Jerman.
Meskipun agak terpinggir di tempat sendiri, Doch Chkae berharap impian mereka untuk mencapai masa depan yang lebih baik akan menjadi inspirasi kepada anak muda lain yang lahir di tempat pembuangan sampah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!