'Jangan malu jual pisang goreng'
GELUGOR - Kehidupan keluarga mengubah perasaan malu bekas peserta kursus Pusat Latihan Giat Mara menjual pisang goreng bagi untuk mengubah kehidupan keluarganya.
Mohamad Amirul Hakimi Abdul Rahim, 18, mengakui lebih bersemangat selepas melihat ketabahan ibunya Zaiton Abd Talib, 57, yang menjual pisang goreng selepas ketiadaan bapanya sejak enam tahun lalu.
Remaja itu berkongsi gambar dan pengalaman hidupnya di Twitter Ahad lalu.
Menurutnya, sebelum ini keluarganya hidup serba kekurangan sehingga abang dan kakaknya melakukan dua pekerjaan sehari termasuk membantu ibu mereka menjual pisang goreng di gerai mereka di kampung Tun Sardon di sini.
"Saya mula sedar kesusahan kami dan mengambil keputusan membantu keluarga pada usia berusia 15 tahun. Pada mulanya memang segan dengan rakan-rakan kerana berniaga di tepi jalan.
"Saya tak sangka kerana ramai kawan memberi semangat dan makan di gerai ibu. Situasi itu akan sentiasa terpahat dalam hati," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini semalam.
Mohamad Amirul berkata, dia membuat keputusan menyambung pelajaran di peringkat sijil dalam bidang masakan di Pusat Latihan Giat Mara dan kini sedang memohon jawatan tukang masak di beberapa hotel di sekitar Pulau Pinang.
Menurutnya, ahli keluarga turut mencadangkan supaya dia menyambung ke peringkat diploma tetapi masih memikirkannya kerana memerlukan kewangan.
"Walaupun masih belum ada jawapan lagi untuk jawatan (tukang masak) itu namun saya tetap mencari kerja sementara di sebuah kilang di samping tetap membantu keluarga menjual pisang goreng. Lagipun saya sudah mahir menghasilkan pisang goreng yang rangup.
"Perkara yang tidak dapat lupakan apabila saya buat pertama kali membeli barang rumah menggunakan hasil duit gaji yang saya terima dan bersyukur juga rezeki keluarga saya bertambah berkat usaha dan doa semua orang. Mak sekarang pun sudah memulakan perniagaan sejuk beku seperti cucur badak dan karipap dan banyak permintaannya," katanya.
Katanya, beliau juga tidak pernah menyesal di usia mudanya dihabiskan dengan kerja dan membantu keluarga demi memberi kegembiraan dan kebahagiaan kepada ibunya yang selama ini sentiasa memberinya sokongan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!