Harimau Malaya usah gentar
HARIMAU Malaya dituntut mempamerkan rentak cemerlang menjelang pertemuan menentang Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi malam esok.
Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, Harimau Malaya perlu melupakan empat rekod pertemuan terakhir termasuk tiga aksi pada Piala AFF Suzuki 2018 ketika menentang skuad Naga Emas berkenaan, sebaliknya tampil dengan karakter melawan yang tinggi.
Menurutnya, empat aksi terakhir ketika menentang jagoan rantau Asean itu seharusnya dijadikan motivasi bagi skuad Harimau Malaya untuk mencipta kejutan kali ini.
“Kita jangan negatif sangat berdasarkan empat perlawanan terakhir menentang Vietnam sebelum ini kerana kita tahu lawan (Vietnam) juga mahukan kemenangan. Sebaiknya jurulatih khasnya para pemain kena ambil pengajaran dan iktibar untuk membawa balik keputusan positif dari Hanoi.
“Saya yakin bahawa skuad Cheng Hoe kali ini tentunya lebih bersedia mental dan fizikal untuk berdepan bukan hanya pemain tetapi juga ribuan penyokong Vietnam di Hanoi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Katanya, barisan pemain negara diingatkan supaya tidak terlalu bermain dengan corak defensif, sebaliknya berani menggempur kubu Naga Emas bagi mencipta kemenangan.
“Jangan terlalu bermain dengan corak bertahan kerana ia akan menjerat diri pemain sendiri kerana Vietnam sudah pasti mahukan kemenangan kerana mereka beraksi di gelanggang sendiri.
“Suka juga saya nasihatkan pemain negara tidak memandang mudah keupayaan lawan, paling penting tidak leka sepanjang 90 minit perlawanan kerana lawan kita kali ini pasukan yang sedang meningkat naik,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid meminta untuk tidak membandingkan UAE dengan Vietnam kerana kedua-dua pasukan memiliki corak permainan berbeza.
“Jika kita lihat UAE ketika itu, mereka mengamalkan corak permainan mudah selain berkelebihan daripada segi fizikal. Apabila mereka hendak menyerang, mereka akan menyerang begitulah sebaliknya.
“Vietnam pula saya tengok kekuatan mereka pada bahagian sayap. Posisi itulah yang akan memberi kelebihan kepada Vietnam untuk menjaringkan gol kerana pemain-pemain mereka pantas jika pemain negara leka,” katanya,
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekalahan tipis 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada kempen kelayakan sebelum ini yang memperlihatkan prestasi skuad Harimau Malaya semakin baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!