Ada yang ikut, ada yang terlupa
Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai makan di daerah ini mendapati kebanyakan ada yang mematuhi larangan itu namun ada juga yang ‘terlupa’ sehingga perlu diingatkan dengan notis larangan.
Peniaga Baracuda Café, Rashida Mansor, 42, gembira apabila larangan merokok itu dipatuhi pelanggannya, sekali gus memberi keselesaan kepada keluarga yang datang menikmati makanan di restoran itu.
“Alhamdulillah akak tengok pelanggan patuhi larangan ini dan kami pun ada tampal notis larangan merokok di kawasan kedai sebagai peringatan mesra kepada mereka.
“Pelanggan yang bawa anak kecil pun seronok nak jamah makanan sebab tak ada asap lagi dan berharap pelanggan akan terus patuhi larangan ini untuk kebaikan bersama,” katanya ketika ditemui di premisnya, di sini semalam.
Bagi penduduk yang tidak merokok, informasi larangan itu sewajarnya diperluaskan kepada masyarakat setempat dan peniaga berikutan masih ada yang mengabaikannya.
Seorang penduduk, Sarifudin Md Yusof, 40, berkata, mungkin sikap sambil lewa dan hubungan baik dengan peniaga menyebabkan larangan merokok di tempat awam itu diambil mudah.
“Mungkin jadi bahan gurauan. Lagipun isu siapa akan menguatkuasa dan mendakwa, orang akan ambil ringan. Jadi perkara ini jangan diambil mudah semua pihak.
“Kementerian dan agensi kerajaan perlu menggandakan usaha untuk memberi sesi penerangan mengenai larangan ini, kesan negatif kepada kesihatan dan hukuman merokok dari sudut agama...jelaskan fatwa merokok.
“Perlu ada undang-undang yang boleh mendakwa peniaga sekiranya sengaja membiarkan perokok bebas merokok di dalam premis mereka,” cadangnya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Abdul Basar Sulaiman, 42, berkata, dia menyokong larangan merokok di kedai makan khususnya supaya lebih selesa dan selamat.
“Bagaimanapun bagi perokok seperti saya, mungkin wajar disediakan tempat khas untuk kami bebas merokok supaya tidak memberi kesan kepada orang lain supaya beri situasi menang-menang dua pihak.
“Mungkin peniaga diwajibkan menampal larangan merokok di kedai mereka supaya kami tidak mudah terlupa...kena banyakkan amaran di tempat awam untuk mengingatkan perokok.
“Kami akur undang-undang sebab hukuman cukup tegas...yang penting kawasan yang boleh merokok juga dapat ditampal notis supaya memudahkan semua pihak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!