Di mana ibu Putri Amanda Balqis
KOTA TINGGI - Seorang wanita di Taman Sri Saujana di sini mengesan menantunya bagi membantu melancarkan urusan dokumentasi pengambilan anak angkat.
Natrah Lomak, 49, berkata, pada Jun tahun lalu menantunya yang merupakan warga Indonesia bernama Yuliana telah meninggalkan anak kandungnya, Putri Amanda Balqis, 9.
Menurutnya, selepas itu wanita berkenaan tidak dapat dikesan dan tidak dihubungi selepas menghilangkan diri.
“Putri merupakan cucu saya sendiri. Ayahnya merupakan anak saya tidak sihat dan tidak berupaya untuk uruskan anaknya. Jadi saya mahu mengambil Putri sebagai anak angkat yang sah di sisi undang-undang.
“Tambahan pula, Putri tidak mempunyai dokumentasi lengkap dan sehingga kini tidak bersekolah. Saya telah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk sijil pengambilan anak angkat.
“Saya harap ibu kandungnya akan tampil membantu melancarkan urusan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, sebelum ini dia pernah menjaga Putri ketika kecil sehingga usianya setahun lebih.
Jelasnya, kali terakhir dia berjumpa menantunya pada Syawal tahun lalu sebelum dimaklumkan ibu bapanya tentang keadaan cucunya itu yang ditinggalkan di kampung.
“Saya harap Putri dapat bersekolah dan membesar seperti mana kanak-kanak yang lain.
"Sepatutnya dia kini sudah bersekolah rendah namun masih tidak boleh bersekolah kerana masalah dokumentasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!