Ahmad Maslan minta hentikan 'blame game'

Ahmad Maslan. - FOTO ROSLI TALIB
Ahmad Maslan. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dinasihatkan untuk menghentikan 'blame game' sebaliknya menilai semula kekurangan yang ada pada mereka.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pakatan Harapan (PH) juga diminta tidak terlalu asyik menyalahkan kerajaan terdahulu sampai tidak menyedari kesalahan sendiri.

"Pakatan Harapan dilihat begitu mudah mencari kesalahan kerajaan terdahulu dan menuduh tanpa fakta.

"Sebagai contoh dalam isu dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) selama sembilan tahun purata dividen adalah 14 peratus tetapi baru-baru ini yang diumumkan hanya dua peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Siri 132: Belanjawan 2020: Apa Rakyat Dapat di Dewan Karangkraf, Seksyen 15 di sini semalam.

Menurutnya, begitu juga dengan isu penurunan dividen Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), adakah itu salah kerajaan dahulu juga soalnya?

"Saya juga nak maklumkan satu fakta yang kita boleh semak iaitu mengenai Bursa Malaysia KLCI hari ini mencatatkan 1558 mata dan ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dulu mata tertinggi adalah 1896.

"Ini menunjukkan perbezaan sebanyak 338 mata dan ini bermakna ia menghilangkan kira-kira RM400 bilion ringgit dari ekonomi Malaysia, siapa nak bayar? Saham turun ini di bawah kerajaan PH, kalau ikut 'blame game' salah siapa?," katanya

Artikel Berkaitan:

Katanya, penurunan saham berlaku kerana tiada kepercayaan pada kerajaan sedia ada.

"Apa yang penting jangan salahkan kita saja kerana ini bukan salah kerajaan dahulu tapi salah kerajaan sekarang yang mereka terpaksa bertanggungjawab terhadap kesalahan dilakukan," katanya.

Ahmad Maslan berkata, dalam isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) umpamanya, ketika pembentangan Belanjawan 2019 menteri kewangan sebut jumlah hutang itu RM50 bilion dan dalam satu ucapan lain mengatakan berjumlah RM100 bilion pula.

Menurutnya, perkara itu kemudiannya ditanya secara bertulis kepada menteri berkenaan di Parlimen dan jawapan diterima secara bertulis memaklumkan hutang 1MDB cuma RM31 bilion.

"Janganlah memetik angka begitu saja kena berdasarkan fakta. Apabila saya tanya tentang berapa aset 1MDB, sampai sekarang masih tak mampu mengira berapa aset tersebut. Memerintah sudah 500 hari takkan tak boleh kira aset 1MDB lagi," katanya.

Turut hadir sebagai panel Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma, Ketua Penerangan Berjasa, Hazwan Mohamad dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.

Katanya, banyak perkara dibangkitkan termasuklah Perdana Menteri memaklumkan kerajaan tidak melaksanakan GST kerana rakyat dikenakan cukai dua kali.

"Ini berita tidak benar kerana cukai dua kali adalah SST bukan GST. Saya rasa saya patut jadi konsultan percuma kepada kerajaan, " katanya sambil berseloroh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!