Naik taraf teknologi pembuatan untuk tarik anak muda

Shah Alam: Okt 08 2019: Ahli Parlimen Kluang, Wong Shui Qi, menyampaikan hujah pada Wacana Sinar siri ke 132 yang bertajuk Belanjawan 2020: Apa Rakyat Dapat?, yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Shah Alam: Okt 08 2019: Ahli Parlimen Kluang, Wong Shui Qi, menyampaikan hujah pada Wacana Sinar siri ke 132 yang bertajuk Belanjawan 2020: Apa Rakyat Dapat?, yang diadakan di Kumpulan Media Karangkraf. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Penaiktarafan teknologi dalam sektor pembinaan dan pembuatan di negara ini dilihat sebagai perkara utama perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2020.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, dengan peningkatan penggunaan teknologi dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) misalnya mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing.

"Apa yang kita lihat sekarang sektor pembuatan kita guna cara lama iaitu buruh intensif. Kos bawa masuk tenaga kerja asing terlalu rendah berbanding pekerja tempatan jadi mereka ambil tenaga buruh asing masuk kerja ke kilang-kilang.

"Tidak wujud 'mix and match' apabila anak-anak muda keluaran universiti tidak berminat untuk kerja kilang.

"Jadi perlu naikkan teknologi yang kita pakai sekarang dan tawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lebih tinggi," katanya.

Jelas beliau, penggunaan teknologi akan meningkatkan nilai sektor pembuatan itu sendiri dan ia penting untuk negara ke arah membolehkan penawaran peluang pekerjaan yang lebih baik.

"Tumpuan perlu diberi kepada sektor pembinaan, pembuatan yang akan menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lebih tinggi," katanya.

Dalam masa sama, Shu Qi turut menyarankan agar penekanan terhadap peningkatan infrastruktur internet diberi perhatian khususnya untuk luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Internet dan ekonomi digital adalah isu penting rakyat. Jika infrastruktur yang cukup boleh disediakan, ia dapat menggalakkan anak muda luar bandar meningkatkan potensi perniagaan dalam talian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!