Putra Science Park, SUK anjur seminar pengurusan harta intelek
SERDANG - Putra Science Park (PSP) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor bakal menganjurkan Seminar Pengurusan Harta Intelek dan Pengkomersialan pada 12 Oktober ini.
Seminar berkenaan dianjurkan bersempena penganjuran program Expo Research, Development and Innovation (R,D&I) Negeri Selangor Tahun 2019 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Menariknya, Expo Research, Development and Innovation (R,D&I) Negeri Selangor Tahun 2019 adalah kali pertama penganjurannya oleh Pejabat SUK Selangor.
Penyelaras Latihan Inovasi PSP Hafliza Husin berkata, seminar ini memberikan kefahaman tentang proses dan kepentingan pengurusan perlindungan harta intelek kepada pembangunan sesebuah produk atau perkhidmatan.
"Ia juga memberikan pendedahan kepada peserta tentang model atau teori berkaitan pengkomersialan Harta Intelek.
“Kita mensasarkan untuk memberikan peluang kepada peserta untuk membincangkan proses pemfailan harta intelek di peringkat antarabangsa dan juga memberikan pendedahan kepada peserta mengenai amalan terbaik pengurusan Harta Intelek di Institusi Pendidikan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, pengurusan harta intelek sangat penting terutamanya kepada pereka cipta, penyelidik, usahawan mahupun pihak industri.
"Hal ini kerana setiap produk atau teknologi yang dihasilkan perlu mempunyai perlindungan harta intelek bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran teknologi atau produk inovasi dihasilkan lebih-lebih lagi untuk ke pasaran antarabangsa.
"Penganjuran seminar ini adalah usaha meningkatkan tahap kesedaran, penerimaan dan pemahaman terhadap kepentingan pengurusan harta intelek bagi pengkomersialan teknologi dan produk inovasi," katanya.
Katanya, PSP UPM selaku universiti peneraju pemindahan teknologi dan pengurusan terbaik harta intelek di Selangor akan berkongsi kepakaran dan pengalaman di dalam pengurusan harta intelek dan pengkomersialan dengan semua peserta yang hadir.
"Selain itu juga, seminar selama satu hari ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan terhadap pengurusan ekosistem Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan (R,D&C) sama ada di institusi pendidikan dan syarikat korporat.
"Juga menjadi platform untuk perkongsian pengalaman dan kepakaran bagi membincangkan isu-isu berkaitan pengurusan harta intelek dan pengkomersialan," katanya.
Jelasnya, seminar akan dibarisi oleh penceramah dan panel jemputan daripada akademia dan industri yang terbuka kepada semua peserta mahupun pempamer sempena program ini.
"Pelbagai program menarik dan aktiviti utama yang turut diadakan antaranya Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) 2019, Selangor International, Selangor Asean Business Conference dan Selangor Smart City Convention," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!