TPM terima kunjungan hormat Menteri Perdagangan dan Industri Qatar
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Ali Ahmed Al-Kuwari di Bangunan Parlimen.
Pertemuan kira-kira satu jam itu turut dihadiri Duta Qatar di Malaysia, Fahad Mohammed Kafoud serta delegasi daripada kementerian berkenaan.
Antara topik yang dibincangkan meliputi perbankan Islam, perdagangan dan pelaburan, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, jaminan makanan, pertanian, belia dan sukan, pendidikan, kesihatan, kemanusiaan, pelarian dan Dana Bagi Pembangunan Qatar.
Ali mengadakan lawatan kerja ke Malaysia selama dua hari mulai hari ini, bersempena dengan mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Qatar yang akan diadakan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri esok.
Mesyuarat itu dijangka membincangkan, antara lain, kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan serta usaha menggalakkan pelaburan antara dua negara tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!