Bayi, kanak-kanak terselamat kemalangan
ALOR GAJAH - Seorang bayi dan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Londang, Pengkalan Balak di sini petang semalam.
Dalam kejadian lebih kurang jam 5.30 petang, mangsa, Danial Aryan Nasrul Asdiq berusia 7 bulan menaiki Toyota Vios bersama ahli keluarganya dalam perjalanan dari Masjid Tanah menghala ke arah Pengkalan Balak.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, bagaimanapun setiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu ayah bayi berkenaan, Nasrol Asdiq Hairol Nizam, 24, hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Dalam masa sama katanya, sebuah kenderaan Proton Persona dipandu seorang suri rumah berusia 33 tahun dari arah Pengkalan Balak gagal mengelak menyebabkan keretanya dinaiki dua penumpang termasuk seorang kanak-kanak lelaki, Uwais Imran Mohd Zaim, 4, dirempuh kereta Toyota Vios itu.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, suri rumah terbabit mengalami patah kaki dan bapa kanak-kanak itu serta seorang lagi penumpang kenderaan sama mengalami cedera ringan manakala bayi dan kanak-kanak lelaki terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!