AS bunuh orang awam di Afghanistan
KABUL - Amerika Syarikat (AS) membunuh sekurang-kurangnya 30 penduduk awam ketika melancarkan serangan udara menyasarkan sebuah kemudahan memproses dadah di barat Afghanistan pada Mei lalu, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disiarkan hari ini.
Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) yang menjalankan siasatan selama empat bulan mendakwa kebanyakan mangsa yang maut adalah wanita dan kanak-kanak.
AS melancarkan serangan di beberapa lokasi dipercayai makmal memproses dadah milik Taliban pada 5 Mei lalu.
"UNAMA mengesahkan 30 kematian termasuk 14 kanak-kanak dan seorang wanita.
"Lima orang cedera dan nasib empat lagi mangsa tidak diketahui," kata UNAMA dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu tentera AS-Afghanistan (USFOR-A) membidas laporan UNAMA selain menegaskan serangan pada Mei lalu sebagai menepati sasaran.
UNAMA mula mengumpulkan data kematian penduduk awam pada 2009 di tengah keadaan keselamatan yang semakin buruk di negara itu.
Data yang dikumpul mula menunjukkan tentera kerajaan dan AS membunuh lebih ramai penduduk awam berbanding militan di Afghanistan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!