Al-Quran tak hangus walaupun rumah rentung dijilat api

No Image Caption
A
A
A
JABI - Anggota bomba yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran sebuah rumah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tempurung, di sini, terkejut apabila mendapati senaskah al-Quran tidak hangus sedangkan barangan lain di sekelilingnya musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohamad Jusoh berkata, kitab suci itu ditemukan oleh anggotanya di bilik utama rumah Mohammad Noor Mat Hassan, 59, ketika membuat pemeriksaan selepas selesai memadam kebakaran.

No Image Caption



Menurutnya, helaian kandungan al-Quran itu masih berkeadaan baik tanpa ada satu ayat pun terkena api kecuali bahagian kulit muka dan belakang sahaja terdapat kesan terbakar.

“Rumah kayu tersebut terbakar 100 peratus namun naskhah kitab itu tidak terbakar dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang kelmarin,” katanya.

Lantai tempat mengaji tak runtuh



Mohamad berkata, seramai 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut dibantu BBP Jertih dikejarkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.22 petang.

Menurutnya, tidak ada mangsa mengalami kecederaan manakala punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihaknya.

Sementara itu, Mohammad Noor yang merupakan Guru Besar SK Tempinis berkata, bukan sahaja al-Quran tetapi cat meja besi berdiri (stand) tempat al Quran itu berada langsung tidak terjejas.

Malahan menurutnya, kerusi kayu yang dia selalu gunakan untuk duduk membaca al Quran itu juga tidak hangus seperti barangan perabot lain.
Artikel Berkaitan:


No Image Caption



“Saya terkejut dengan keajaiban yang berlaku kerana hampir semua yang berada rumah saya musnah tetapi kitab ini tidak musnah,” katanya.

Katanya, satu lagi naskhah al-Quran selalu dibaca isterinya walaupun kelihatan terbakar teruk di bahagian luar, namun helaian masih elok.

Tambahnya, satu lagi perkara yang aneh berlaku ialah kawasan lantai papan yang menempatkan kira-kira 20 naskhah al-Quran yang sering digunakan pelajar yang belajar mengaji al-Quran dengan isterinya juga tidak runtuh.

“Sedangkan buku-buku dan lantai di tempat lain hangus dan jatuh ke bawah rumah tetapi bahagian al-Quran itu disimpan tidak jatuh,” katanya.

Baca Quran satu juzuk sehari



Mohammad Noor berkata, al-Quran yang tidak terbakar di dalam biliknya itu dibaca sekurang-kurangnya satu juzuk sehari.

Menurutnya, pada pagi hari kejadian, beliau membaca surah Al-Mukminum, juzuk ke-18 sebelum meninggalkan al-Quran di atas meja itu untuk pergi mencabut gigi.

“Memang amalan saya membaca al-Quran tersebut setiap hari dan apa yang berlaku ternyata ALLAH menunjukkan kekuasaannya,” katanya.

No Image Caption



Ketika kejadian, Mohammad Noo bersama isteri, Robiah Busu, 56, dan dua anak perempuannya, Khalisah 25, dan Khalilah, 19, berada di rumah.

Pada mulanya dia terdengar bunyi letupan kecil sebelum melihat api bermula berhampiran fius di bahagian ruang utama rumah.

“Usaha saya memadam dengan alat pemadam kebakaran kereta gagal sebelum saya mengarahkan isteri dan anak-anak saya keluar menyelamatkan diri.

“Walaupun kami tinggal sehelai sepinggan selepas gagal menyelamatkan barangan di dalam rumah, namun bersyukur melihat kebesaran ALLAH selain ahli keluarga saya tidak cedera,” katanya yang menyifatkan kejadian sebagai dugaan apabila berlaku di saat penggal persekolahan baharu bermula.

Beberapa pemimpin setempat termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa merangkap Adun Jabi, Dr Azman Ibrahim serta Pengerusi Penyelaras Dun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar turut melawat Mohammad Nor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!