'Dia cakap takut kena cucuk' - Ibu

Tular rakaman video menunjukkan Farid menangis teresak-esak kerana takut dicucuk.
Tular rakaman video menunjukkan Farid menangis teresak-esak kerana takut dicucuk.
A
A
A

WARGA Sekolah Kebangsaan Pulau Serai gempar apabila salah seorang anak muridnya melarikan diri pulang ke rumah gara-gara hendak mengelak menerima suntikan vaksin kancing gigi.

Tular satu rakaman video durasi 41 saat di media sosial memaparkan Farid Idham, 7, menangis teresak-esak tidak mahu disuntik dan dipujuk oleh gurunya.

Menurut ibunya, Nurul Irrma Ryana Mohammad, 30, kejadian itu berlaku jam 11 pagi ketika dia sedang bekerja di sebuah kedai tidak jauh dari rumahnya.

"Waktu dia lari tu, dia cari saya di kedai, saya tanya kenapa? Dia cakap takut kena cucuk...

"Bila dia nampak kereta guru tiba di rumah, dia terus masuk ke dalam rumah kunci semua pintu," katanya kepada Sinar Harian.

Menjadi runtin harian, Nurul Irrma menghantar anaknya ke sekolah namun terkejut apabila anaknya pulang ke rumah dalam keadaan ketakutan.

Farid (depan kanan) bersama ibunya, Nurul Irrma, bapa dan adik-beradiknya.
Farid (depan kanan) bersama ibunya, Nurul Irrma, bapa dan adik-beradiknya.

"Semalam di sekolah, murid tahun satu perlu menerima suntikan awal iaitu vaksin kancing gigi. Sebelum ini, dia tidak fobia mana-mana suntikan tetapi mungkin semalam, Farid lihat kawan-kawannya menangis, tu sebab dia lari dari sekolah dan sembunyi di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Ini kejadian pertama kali, namun saya tidak sangka dia berani pulang ke rumah dengan menaiki basikal sepupunya," katanya jarak rumah dan sekolah hanya 300 meter.

Kata Nurul Irrma, anak ketiga dari empat beradik itu bersembunyi di dalam rumah selama 30 minit.

"Farid kunci semua pintu, saya pun tak boleh masuk. Lepas gurunya beredar, baru dia buka pintu. Saya pun tanya apa yang berlaku, dia cuma cakap dia takut kena cucuk.

"Gara-gara kejadian itu, guru izinkan dia cuti semalam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!