Usah persenda bangsa Melayu
SELAMAT Tahun Baharu 2019. Semoga 2019 menjadikan kita manusia yang lebih baik dan bermanfaat untuk ummah sejagat.
Hujung minggu yang lepas, arena politik Malaysia memberikan tumpuan khas ke Putrajaya bagi menyaksikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kedua dan pertama bagi mereka selepas membentuk Kerajaan pada PRU14. Sudah boleh dijangkakan perhimpunan ini seumpama meraikan kejayaan mereka mengalahkan parti Melayu-Islam tertua dan terbesar di Malaysia, Umno.
Kita boleh lihat bagaimana satu persatu pimpinan tertinggi parti berkenaan, baik di peringkat pusat mahupun sayap-sayap menjadikan Umno sebagai modal perbahasan mereka untuk menyerlahkan bakat orator dan persiapan menghadapi pemilihan pertama parti mereka. Umno dijadikan modal belasahan dan pembangkit semangat perwakilan walaupun Umno telah pun tewas dan menerima kekalahan PRU14.
Mereka bertempik dan bersorak untuk tidak mahu menjadi seperti Umno, namun pada masa sama mencari justifikasi untuk memikat wakil-wakil rakyat Umno untuk menyeberang ke pangkuan mereka. Benarlah akan pendapat beberapa sahabat bahawa Umno masih menghantui Bersatu. Selagi Umno tidak musnah atau “dimakan” oleh mereka, selagi itu mereka akan terus dihantui.
Walaupun begitu, perkara yang perlu diambil berat dari perhimpunan ini adalah betapa persisnya Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir menyatakan bangsa Melayu ini bangsa yang malas. Menggunakan platform perhimpunan parti Melayu-Islam untuk mengukuhkan naratif Melayu pemalas ini menunjukkan bahawa ia perlu didalami secara ilmiah dan terperinci. Benarkah Melayu itu malas?
Apakah yang dimaksudkan sebagai malas? Merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, malas bererti tidak mahu berbuat sesuatu; segan atau enggan berbuat sesuatu. Namun, konsistennya Perdana Menteri membuatkan ramai orang Melayu tertanya-tanya dan bingung akan apakah yang mereka lakukan selama ini dilihat sebagai malas? Apakah orang Melayu yang bekerja sebagai penjawat awam di sektor-sektor penting seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan awam dan pertahanan juga mereka yang malas?
Sekurang-kurangnya mereka ini berusaha “berbuat sesuatu” untuk mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga di samping membantu membina negara. Maka persoalannya, adakah barometer kerajinan sesuatu bangsa itu hanya dilihat melalui harta kekayaan berbilion-bilion?
Maklumat Jabatan Perangkaan Negara menyatakan jumlah populasi penduduk Malaysia adalah sekitar 32 juta orang dan Bumiputera adalah sekitar 65%. Daripada jumlah 32 juta, lebih 14.94 juta rakyat Malaysia adalah pekerja dan lebih 9.7 juta daripadanya Bumiputera. Logiknya mudah, tidak semua boleh menjadi kaya-raya dengan harta berbilion-bilion dan mempunyai ratusan syarikat serta kuda-kuda.
Setiap rakyat Malaysia mempunyai peranannya masing-masing dalam memajukan negara dan merancakkan ekonomi setempat. Ada menjadi pekerja baik kolar biru atau kolar putih, mahupun tenaga kerja terlatih atau tidak. Ada yang akan menjadi usahawan dan pemodal. Pokoknya pekerjaan yang dimiliki haruslah bermaruah, halal dan produktif. Barulah terbit berkat dan beroleh keredaan ALLAH SWT.
Kita tidak bermaksud bangsa Melayu tidak boleh menjadi kaya atau bilionair. Sesiapa pun jika mempunyai disiplin, semangat dan motivasi untuk menjana kekayaan, boleh mencuba tanpa halangan, malah digalakkan. Adalah menjadi tugas kerajaan yang bertanggungjawab untuk menyediakan peluang secukupnya dan adil dalam pengagihannya, tanpa amalan kronisme dan nepotisme. Sekiranya syarat ini dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, sudah tentu lebih ramai yang mendapat manfaat.
Sehubungan itu adalah amat mengecewakan bagi orang Melayu apabila Tun Dr Mahathir masih melagukan ayat yang sama. Psikologi manusia perlulah sentiasa diberi motivasi positif untuk membina keyakinan pada potensi diri dan tidak berterusan dengan kenyataan-kenyataan negatif yang meremehkan serta melemahkan minda, perasaan dan tingkah laku seseorang itu. Janganlah kita mudah melabel bangsa kita sebagai malas atau lemah. Selagi ia terus dilagukan, selagi itulah akan bertapak dalam minda semua termasuklah pemimpin dan rakyat.
Justeru, dengan semangat baharu menghadapi tahun 2019 yang dijangkakan lebih mencabar dengan keadaan ekonomi semasa yang merudum serta kecelaruan polisi pemerintah, maka ayuhlah kita bertekad untuk menjadi lebih baik, produktif dan memberi manfaat pada agama, bangsa dan negara.* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!