Kelantan tak ceroboh tanah Felcra: Mohd Amar
KOTA BHARU - Tidak timbul isu menceroboh di kawasan tanah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) di Bukit Tandak, Rantau Panjang sebagaimana dakwaan beberapa pihak sebelum ini memandangkan ia adalah hak kerajaan negeri.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sebelum ini, pihaknya pernah mengadakan pertemuan dua kali dengan wakil peserta Felcra dan telah menawarkan hak milik tanah seluas 1.2 hektar.
"Kita juga minta mereka mengisi borang di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas untuk pertimbangan, namun mereka tidak tampil untuk isi borang seperti yang diminta dan mereka dikatakan tidak setuju dengan tawaran itu.
"Kalau hendak diberi tanah seorang 2.4 hektar seorang, ia tidak mencukupi dengan bilangan hampir 700 orang termasuk peneroka lama.
"Ini kerana, selain peserta Felcra, lebih 300 peneroka asal juga perlu diambil kira sebab mereka sebelum ini pernah mengusahakan tanah itu sejak tahun 1978," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengulas mengenai rintihan lebih 300 peserta Felcra Bukit Tandak, Rantau Panjang mengenai isu penebangan pokok di kawasan tersebut.
Menurutnya, berdasarkan rekod yang ada pada kerajaan negeri, pihaknya mendapati peserta yang membuat bantahan bukanlah peneroka sebaliknya peserta Koperasi Felcra yang menerima dividen dalam kadar 2.4 hektar sejak 30 tahun selepas jabatan itu membuat tanaman getah.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri tidak pernah lepas tangan dalam isu berkenaan, malah telah menawarkan jalan penyelesaian terbaik untuk berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat.
"Bagaimanapun, peserta terbabit tidak bersetuju sehingga membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun atas fakta yang sahih, semuanya ditolak dan mereka kalah.
"Sebenarnya isu ini sudah berlarutan sekian lama sejak zaman Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz. Felcra pula teroka tanah itu tanpa sebarang perjanjian dengan kerajaan negeri dan kalau secara undang-undang, ia adalah haram. Sepatutnya peserta kena saman Felcra. Bukannya saman kita.
"Jadi, kerajaan negeri sudah setuju memberi tawaran kontrak kepada satu syarikat untuk keluarkan kayu.
"Syarikat itulah yang masuk sekarang ini dan tidak berbangkit kerajaan negeri membuat zalim kerana kita sudah berunding sebelum ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!