Kambing tumpang tidur dalam bilik air
CLEVELAND - Seorang pemilik rumah di Ohio, Amerika Syarikat tidak pernah termimpi untuk menjadi terkenal hanya kerana seekor kambing 'tumpang' tidur di dalam bilik air di kediamannya.
"Ini adalah kisah paling jarang berlaku di dunia," kata Jennifer Keathley sambil tertawa kelmarin.
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu apabila seekor kambing jantan dari sebuah ladang yang terletak beberapa kilometer memecahkan pintu kaca gelongsor dan memasuki rumah Keathley di Sullivan, daerah Ashland.
Anak lelakinya yang berusia 18 tahun terkejut selepas menemukan kambing tersebut selepas dia kembali dari sekolah.
Kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Dua Timbalan Syerif Daerah Ashland bagaimanapun gagal mengumpan kambing digelar Big Boy itu dengan lobak dan rumput untuk membawanya keluar dari rumah tersebut.
Mereka akhirnya terpaksa menariknya keluar dan memasukkannya dalam kurungan anjing.
Keathley kemudiannya memuat naik mesej tentang 'kambing hilang' di halaman komuniti di Facebook dan pemilik Big Boy terus menghubunginya.
Difahamkan, wanita terbabit terpaksa meminta ganti rugi dengan pemilik ladang itu memandangkan polisi insurans kediaman itu hanya meliputi kerosakan disebabkan oleh beruang atau rusa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!