Urus pelarian secara betul agar tidak beban negara: Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Malaysia perlu menguruskan pelarian secara betul atau ia akan membebankan negara pada masa akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 namun negara sedang menghadapi masalah kemasukan pelarian.
"Oleh demikian pengurusan yang betul adalah perlu agar ia tidak membebankan negara," katanya dalam satu kenyataan mengenai pertemuannya dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) Filippo Grandhi di Geneva semalam.
Pertemuan selama 45 minit itu antara lain membincangkan mengenai kerjasama antara Malaysia dan badan dunia itu dalam pelbagai aspek pengurusan pelarian.
Antara komitmen UNHCR adalah untuk membantu Malaysia dalam mendapatkan sebahagian dari Qatar Development Fund yang boleh digunakan untuk mengurangkan beban negara menguruskan pelarian.
Semasa pertemuan tersebut juga, Muhyiddin menegaskan bahawa terdapat keperluan penglibatan pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia dalam proses pemberian status pelarian yang dilaksanakan selama ini oleh UNHCR.
Setakat ini Malaysia dipercayai mempunyai seramai lebih kurang 180,000 orang pelarian dari pelbagai negara.
Muhyiddin dijangka akan mengadakan mesyuarat intra-agensi selepas kembali ke tanah air bagi meneliti soal pengurusan pelarian di Malaysia.
Antara agensi yang terlibat adalah Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!