Bayi selamat selepas 35 jam terperangkap dalam runtuhan
MOSCOW - RUSIA. Seorang bayi lelaki ditemukan masih bernyawa, meskipun telah terperangkap dalam cuaca sejuk selama 35 jam susulan runtuhan bangunan di Rusia.
Rakaman video pasukan kecemasan tempatan menunjukkan anggota penyelamat mengeluarkan seorang bayi dan membalutnya dengan selimut, sebelum berlari ke arah ambulan.
Menurut anggota penyelamat, mereka mendengar tangisan dan ternampak stokin berwarna pink sebelum berjaya menemukan bayi tersebut dalam cuaca sejuk -22 darjah Celsius.
Bayi berusia 10 bulan bernama Ivan itu, dipercayai berada dalam katil bayi ketika insiden berlaku.
Dia yang mengalami kecederaan di kepala dan patah kaki kemudian segera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dengan 36 mangsa dilaporkan masih hilang susulan runtuhan 48 unit apartmen di bangunan 10 tingkat di Magnitogorsk kelmarin, yang dipercayai berpunca daripada letupan gas asli. - Reuters/AAP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!