Bayi derita kanser hati tahap empat
KUALA SELANGOR - Luluh hati seorang ibu apabila bayi perempuannya berusia sembilan bulan yang dulunya ceria dan aktif kini menderita selepas disahkan menghidap kanser hati tahap empat.
Nurul Nadia Syafiqa Ramly, 27, berkata, anaknya, Nur Adellea Damiaa Mohd Sabarudin disahkan menghidap kanser itu sejak penghujung Mei lalu.
"Saya pelik sebab terdapat kesan bengkak keras pada perut Nur Adellea yang rupanya petanda kanser hati," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 5 Kampung Kuantan di sini semalam.
Nurul Nadia berkata, dia dan suami, Mohd Sabarudin Sulong, 30, tidak dapat membayangkan anaknya menghidap penyakit itu apatah lagi Nur Adellea terpaksa menjalani pembedahan 4 September lalu.
"Malah doktor yang merawat anak memberitahu terdapat sel kanser merebak sedikit ke paru-paru Adellea namun berkat rawatan yang tidak pernah putus organ itu bebas daripada sel kanser.
"Tidak dapat saya bayangkan kesakitan yang dialami Adellea kerana daripada luaran dia nampak normal seperti bayi lain," katanya.
Nurul Nadia berkata, dia dan suaminya terpaksa berulang-alik dari Kuala Selangor ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani rawatan kemoterapi Adellea.
"Kos ulang-alik hospital termasuk rawatan Adellea sahaja mencecah RM1,000 dan kadang-kadang buntu untuk menampung perbelanjaan rawatan itu," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Nur Adellea Damiaa boleh menyalurkannya ke akaun Maybank (162133217036) atas nama Mohd Sabarudin Sulong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!