PRK Tanjung Piai: Prestasi MCA jadi penentu
KUALA LUMPUR - Pendapat mengenai prestasi MCA pada pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini bakal menjadi penentu kepada Barisan Nasional (BN) sama ada mengekalkan calon parti komponen itu pada PRK Tanjung Piai atau digantikan dengan UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara tersebut akan diambil kira sebelum presiden parti membuat keputusan.
Menurutnya, BN selesai melakukan kajian sensitiviti dan sikap pengundi di Tanjung Piai dengan memperoleh pelbagai pendapat.
"Ada dua pendapat besar. Pertama ialah MCA tidak menang baru-baru ini (PRK) dan kita berpendapat kenapa kita tidak cuba calon daripada UMNO (PRK Tanjung Piai).
"Satu lagi, oleh kerana dulunya MCA pun kalah dengan tidak banyak, kenapa kita tidak beri satu lagi peluang.
"Maka biar presiden buat keputusan. BN akan letak calon dan menerusi tiga parti komponen akan adakan diskusi dalam masa terdekat," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Annuar berkata, keputusan mengenai calon PRK Tanjung Piai akan dibuat tidak lama lagi dan berharap dapat diumumkan dalam tempoh seminggu sebelum hari penamaan.
"Atau kita terpaksa tunggu PH (Pakatan Harapan) umum calon dan kita akan umum calon kita selepas itu. Keputusan meletakkan calon sudah pasti urusan BN kerana Pas tidak meletakkan calon," katanya.
Annuar turut memaklumkan pembangkang tidak akan membentangkan 'bajet bayangan' tahun ini kerana polisi dan masalah yang dibentangkan tahun lepas masih lagi sah.
“Kita sebagai pembangkang. Jadi bajet kita dari segi dasarnya sah selama dua tahun. Kerajaan perlu bentang setiap tahun kerana dia kena tahu jumlah yang diperlukan.
"Tahun depan kita perlu bentang lagi sekali sebab ada polisi baru yang dikemukakan oleh Muafakat Nasional,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!