Bursa Malaysia mulakan dagangan dengan trend positif

No Image Caption
A
A
A
BURSA Malaysia memulakan dagangan tahun baharu dengan trend positif, sejajar dengan prestasi bursa serantau lain, mendapat rangsangan daripada belian dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata seorang peniaga.

Pada 9.02 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.01 mata kepada 1,693.59 daripada paras penutup 1,690.58 pada Isnin.

Indeks itu dibuka 2.93 mata lebih kukuh kepada 1,693.51.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 113 berbanding 47, manakala 104 kaunter tidak berubah, 1,593 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 42.01 juta saham bernilai RM14.75 juta.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena cuti umum Tahun Baharu.

Aliran meningkat dilihat dalam bursa tempatan hari ini sejajar dengan jangkaan daripada firma-firma penyelidikan.

Public Investment Bank Bhd, sebagai contoh, berkata ia menjangka Bursa Malaysia memulakan tahun baharu dengan dibuka tinggi selepas prestasi positif di Wall Street pada Isnin.

“Pasaran saham global mengakhiri tahun terburuk mereka sejak krisis kewangan, yang menjejaskan pelabur dan bakal berdepan dengan keadaan turun naik yang tidak menentu dalam bulan-bulan yang akan datang.
Artikel Berkaitan:


“Kelemahan pasaran ekuiti pada tahun lepas kebanyakannya adalah disebabkan kebimbangan terhadap ekonomi global yang perlahan dan dasar monetari yang ketat,” kata firma itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

Public Investment berkata peningkatan ketegangan geopolitik yang tercetus daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dan seterusnya Brexit, juga menjejaskan pelabur dan ekuiti.

Sementara itu, seorang peniaga lain berkata pemain pasaran melihat catatan Presiden AS Donald Trump di laman twitternya sebagai satu langkah baik untuk memulakan tahun baharu dengan positif.

“Sabtu lepas, dalam catatan twitternya Trump menyebut “big progress” (kemajuan besar) berhubung rundingan perdagangan dengan Presiden China Xi Jinping. Kami berharap ini akan meningkatkan pasaran global termasuk pasaran ekuiti,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM9.49, Public Bank meningkat enam sen kepada RM24.82, manakala kedua-dua Tenaga dan Petronas Chemicals naik dua sen masing-masing kepada RM13.62 dan RM9.31.

Dalam kalangan kaunter cergas, Tatt Giap naik dua sen kepada 25 sen, Puc Bhd meningkat satu sen kepada 12.5 sen, Hubline tidak berubah pada 4.5 sen, manakala Sapura Energy berkurangan setengah sen kepadat 28.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 19.70 mata kepada 11,547.21, Indeks FBMT 100 naik 19.03 mata kepada 11,462.64, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 18.46 mata kepada 11,522.89.

Indeks FBM Ace naik 24.02 mata kepada 4,341.51 manakala FBM 70 menambah 2.05 mata kepada 13,077.24.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 45.99 mata kepada 17,342.46, Indeks Perladangan naik 4.16 mata kepada 6,907.12 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.25 mata kepada 166.74. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!