PDAM jumpa PM 45 minit, keputusan petang ini

Khairul Annuar (tengah) dan wakil PDAM mengadakan pertemuan dan berbincang dengan Dr Mahathir tentang isu berkaitan petrol dan diesel.
Khairul Annuar (tengah) dan wakil PDAM mengadakan pertemuan dan berbincang dengan Dr Mahathir tentang isu berkaitan petrol dan diesel.
A
A
A
PUTRAJAYA - Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) hari ini mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu berkaitan petrol dan diesel susulan pelaksanaan sistem apungan secara mingguan.

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, dalam pertemuan berlangsung selama 45 minit di Jabatan Perdana Menteri, pihaknya mengemukakan segala cadangan berkaitan perkara itu.

Katanya, Dr Mahathir akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet yang sedang berlangsung ketika ini.

"PDAM diwakili lima pengusaha termasuk saya, berbincang dengan Tun kira-kira jam 8.45 pagi tadi.

"Apa yang kita nyatakan tadi sama seperti yang sudah kita maklumkan sebelum ini dan Tun mendengar semua cadangan kami," katanya ketika ditemui selepas sesi pertemuan itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan perbincangan itu dijangka diketahui jam 4 petang ini.

"Kita kena tunggu keputusan Kabinet. Kami berharap keputusan positif diterima.

"Jam 4 petang nanti, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menteri akan 'update' (kemas kini) kepada kami," katanya.

Sabtu lalu, PDAM mengadakan perjumpaan khas pengusaha stesen minyak dan dalam sidang medianya, Khairul Annuar berkata, pengusaha stesen minyak di negara ini terpaksa beroperasi maksimum 18 jam berbanding 24 jam di sesetengah lokasi ekoran jangkaan penurunan harga minyak mendadak.
Artikel Berkaitan:


Katanya, tindakan itu terpaksa dilakukan bagi mengurangkan kos operasi masing-masing.

Selain itu, PDAM turut meminta kerajaan menaikkan komisen pengusaha stesen minyak bagi mengurangkan kerugian ditanggung mereka.

Pada hari itu, kira-kira 3,000 pemilik stesen minyak di seluruh negara menandatangani petisyen untuk kepada Dr Mahathir meminta supaya apungan dilakukan secara bulanan dan menaikkan serta menyelaraskan komisen pengusaha stesen minyak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!