Apa salahnya jual aset Khazanah untuk tambah pelaburan, kata Najib
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan penjualan aset Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sebenarnya untuk menambah pelaburan baharu supaya nilai terus berkembang.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ia menjadikan nilai aset bersih (selepas ditolak hutang) naik hampir 3 1/2 kali ganda dari RM33 bilion menjadi RM116 bilion dan bersamaan dengan kadar pulangan 15 peratus setahun.
"Menteri Kalis Kamera CCTV jawab Najib jual 84 aset dalam tempoh 10 tahun. Oleh itu, apa salahnya Khazanah jual aset? Seolah-olah dia nak kata, Najib pun pernah kahwin dua kali. Oleh itu apa salahnya jika saya ada kekasih di Sandakan? Itulah. Konteksnya sangat berbeza.
"Tetapi masa PH pula, nilai aset bersih Khazanah jatuh RM25 bilion dari RM116 bilion menjadi RM91 bilion. Dia tahu beza tak? Dia kata saya jual 84 aset dalam tempoh sembilan tahun empat bulan dari 2009 hingga awal tahun 2018, tetapi dia tak berani beri nilai berapakahnya jumlah nilai aset-aset ini.
"Oleh itu, saya petik dari jawapan A Kadir Jasin yang kata saya jual 80 aset dalam tempoh 9 tahun aset dengan nilai RM45.3 bilion - atau purata nilai jualan RM5 bilion setiap tahun. Yang PH jual 12 aset dalam masa setahun dengan nilai RM25.6 bilion itu apa cerita?" katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Najib berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengatakan sebanyak 84 aset Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dilupuskan sejak 2009 hingga empat bulan pertama 2018 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.
Tambah beliau, penjualan itu belum melibatkan aset-aset yang dijual oleh anak syarikat Khazanah seperti UEM, Axiata dan sebagainya serta penjualan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC-GLC) lain seperti Tabung Haji, FGV, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan lain-lain.
Sementara itu Najib turut mempersoalkan mengenai tindakan kerajaan memborong aset-aset negara ketika pasaran saham adalah yang tercorot di dunia dan keadaan ekonomi yang semakin merosot.
Malah katanya, Azmin turut mempertahankan keputusan kerajaan menjual saham IHH Berhad kepada Jepun lalu.
"Katanya, masa itu harga pasaran saham IHH masa itu adalah RM5. Jepun tawar RM6. Oleh itu, dia jual lah. Untung 20 peratus! Harga saham IHH Berhad pernah lebih dari RM6.70 sebelum PRU14.
"Oleh kerana bursa saham menjadi pasaran saham paling corot dalam dunia, harga IHH Berhad turut turun juga. Kerana pembeli Jepun itu tahu orang PH tak berapa bijak, mereka pun mengambil kesempatan pada masa pasaran saham menjadi paling corot dalam dunia untuk tawar premium cuma 20 peratus sahaja pada harga saham RM6.
"PH pun setuju dan syarikat Jepun itu menjadi pemilik saham terbesar dalam IHH Berhad yang kita bina dari tidak wujud pada tahun 2010 menjadi rangkaian hospital swasta kedua terbesar di dunia," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Azmin dedah 84 aset Khazanah dijual ketika pentadbiran Najib
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!