Pelihara akidah daripada fahaman syiah yang terpesong

A
A
A

SYIAH dalam bahasa Arab bermaksud pengikut. Apabila disebut syiah pada hari ini, mereka ialah golongan yang mengagung-agungkan Saidina Ali RA dan menganggap beliaulah pengganti Rasulullah SAW sebagai khalifah. Saidina Abu Bakar dianggap sebagai perampas dan pengkhianat terhadap wasiat Rasulullah SAW.

Para sarjana berbeza pendapat tentang asal usul kemunculan syiah. Sebahagian menisbahkan syiah kepada Abdullah bin Saba’ yang muncul pada zaman Saidina Usman bin Affan RA, manakala sebahagian menganggap syiah muncul akibat pergolakan politik semasa zaman Saidina Ali bin Abu Talib RA, menyebabkan mereka berbeza pendapat tentang persoalan menentukan hukum terhadap golongan berkenaan.

Ajaran syiah juga berubah daripada satu bentuk kepercayaan kepada kepercayaan yang pelbagai dan nama-nama yang berbeza antara satu firqah (pecahan) kepada firqah. An Naubakhti, seorang sarjana syiah, dalam kitabnya Firaq As-Syiah menyenaraikan lebih kurang 300 firqah syiah.

Para sarjana Islam mencari titik persamaan yang ada pada semua pecahan syiah untuk menentukan hukum dan persepsi terhadap mereka.

Oleh sebab itu, kebanyakan ulama menggelarkan mereka sebagai ar-Rafidhah atau ar-Rawafid dan tidak menyebutkan mereka sebagai syiah. Ar-Rafidhah atau ar-Rawafid merupakan golongan yang menolak para sahabat terutamanya Abu Bakar dan Umar RA serta seluruh para sahabat.

Hukum

Mana-mana golongan syiah yang muncul sekiranya mempunyai ciri-ciri dan sifat yang sama, maka hukumnya adalah sama. Sebagai contoh Imam al-Bukhari, melalui karyanya Khalqu Af’al al Ibad, mengharamkan solat di belakang golongan ar-Rafidhah, berkahwin dengan mereka, memberi salam dan memakan sembelihan mereka.

Ahmad bin Yunus, seorang ulama besar Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang digelar oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai Syeikhul Islam berkata: "Sekiranya seorang Yahudi menyembelih seekor kambing dan seorang Rafidi (orang yang menolak dan mengkafirkan sahabat) menyembelih seekor kambing, nescaya aku akan makan kambing yang disembelih oleh orang Yahudi dan aku tidak akan makan sembelihan Rafidi itu kerana dia telah murtad daripada Islam."

Begitulah juga halnya dengan Imam Malik, Imam Ahmad, Imam al-Ghazali dan lain-lain yang menghukum syiah berdasarkan sifat ar-Rafd (penolakan terhadap sahabat).

Artikel Berkaitan:

Walau apapun nama yang mereka gunakan atau dakwaan yang dibawa, lihat sahaja terhadap unsur ar-Rafd –penolakan terhadap para sahabat.

Sekiranya kumpulan syiah tersebut tidak menolak sahabat, maka mereka masih lagi Islam seperti Syiah Zaidiah, tetapi sekiranya mereka menolak sahabat, maka mereka telah terpesong daripada ajaran Islam seperti yang difatwakan oleh para ulama.

Seperkara lagi, syiah tidak boleh diterima sebagai satu mazhab yang sependapat dengan Imam al-Bukhari, Imam Malik, Imam Ahmad, Syeikhul Islam, Ahmad bin Yunus dan lain-lain sekiranya neraca pertimbangan terus menolak para sahabat.

Di negara kita, ajaran syiah mula meresap masuk melalui kampus-kampus universiti utama sekitar awal tahun 1980-an. Setelah Kedutaan Iran dibuka, beberapa orang pensyarah dan orang-orang tertentu dibawa ke Iran untuk 'disyiahkan'.

Keadaan bertambah buruk lagi apabila sebahagian buku-buku yang penuh dengan 'penentangan' terhadap sahabat dibawa masuk ke negara kita.

Ketika itu juga, pelajar-pelajar dihantar menyambung pengajian secara percuma ke Iran. Ramailah yang terpengaruh, lalu menukar pegangan kepada syiah.

Wahai umat Islam! Cuba fikirkan, jika benar syiah hanya satu mazhab, perlukah seseorang menukar mazhabnya daripada ASWJ kepada syiah?

Sekitar tahun 1996-1997, jawatankuasa fatwa negeri-negeri di Malaysia juga Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kesesatan syiah termasuk Pulau Pinang, setelah tersalah membenarkan Syiah Imamiah dan Jaafariah sebelum itu.

Bagaimanapun, ajaran syiah semakin merebak di negara kita. Hauzah-hauzah mereka ditubuhkan di beberapa buah negeri. Ada hauzah yang secara terang-terang mengadakan program-program keagamaan syiah seperti sambutan Wiladah Fatimah Maulid Imam Mahdi, Hari Karbala, Hari Raya Ghadir dan sebagainya.

Justeru, pihak berkuasa agama di seluruh negara bertungkus-lumus menghadapi serangan ideologi syiah. Seminar-seminar dan wacana-wacana berkenaan kesesatan ajaran syiah diadakan di seluruh negara demi menyelamatkan umat Islam daripada terpengaruh dengan fahaman tersebut.

Bukan itu sahaja, beberapa tangkapan dilakukan ke atas pimpinan syiah di negara kita. Walaupun adakalanya jabatan-jabatan agama berhadapan dengan cemuhan pihak-pihak tertentu, mereka tetap tidak berputus asa melaksanakan tanggungjawab dan amanah menjaga akidah umat Islam.

Rosakkan sistem masyarakat

Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor telah membuat tangkapan terhadap lebih 20 orang pengikut syiah di Selangor. Syabas kepada mereka yang berusaha memartabatkan akidah ASWJ.

Usah pedulikan 'suara-suara sumbang' yang menggesa agar kajian semula dilakukan terhadap fatwa-fatwa terhadap syiah. Fatwa pengharaman syiah pada hakikatnya dikeluarkan setelah kajian terperinci dilakukan pakar-pakar agama dan sarjana Islam.

Membenarkan ajaran syiah seolah-olah membenarkan 'pencerobohan' terhadap sumber ajaran Islam iaitu al-Quran dan Sunnah.

Syiah menyebarkan ajaran mereka dengan merosakkan nama baik para sahabat yang mana ia sekali gus menyebabkan al-Quran dan semua hadis yang dikumpulkan oleh para ulama akan tertolak.

Masakan tidak, bukankah al-Quran dan hadis datang melalui para sahabat? Oleh kerana itu, masyarakat perlu ditanam dengan kecintaan terhadap para sahabat melalui kuliah, ceramah dan sebaran buku.

Ajaran Syiah juga merosakkan sistem sosial masyarakat Islam di negara kita. Sehingga sekarang, beberapa kes perkahwinan antara sunni dilaporkan ke jabatan-jabatan agama. Perbalahan antara pasangan sunni-syiah tidak boleh diselesaikan menurut prosedur biasa kerana melibatkan soal akidah.

Apabila berlaku penceraian, hak hadanah biasanya akan diberikan kepada isteri. Sekiranya kes tersebut melibatkan pihak isteri yang berfahaman syiah, pihak berkuasa akan menghadapi keadaan buntu. Bayangkan masa depan anak-anak berkenaan yang bakal berhadapan dengan perkara bertentangan dengan ajaran ASWJ.

Apapun, fikirkanlah nasib generasi muda kita pada masa depan. Bertindaklah sebelum nasi menjadi bubur!

***Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud merupakan Pendakwah dan Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Wilayah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!