Tak mungkin ada PRN di Perak, kata Ahmad Faizal

Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita pada sidang media, hari ini.
Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita pada sidang media, hari ini.
A
A
A

IPOH - Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mungkin akan berlaku di Perak, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, Kerajaan Perak di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada masa kini masih utuh dan kuat tidak seperti didakwa sesetengah pihak.

"Tak perlu kita nak adakan (PRN), tak perlulah juga saya mengadap baginda Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Negeri atau sebagainya.

"Saya bersama rakan-rakan Exco sedang memberi tumpuan penuh kepada usaha membangunkan negeri.

"Pada ketika ini pun saya sedang bersiap sedia menyampaikan Belanjawan 2020 Negeri yang akan dibentangkan bulan hadapan," katanya kepada pemberita hari ini.

Ahmad Faizal berkata, selaku ketua negeri, beliau sentiasa menggalakkan ahli politik sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang memberi fokus kepada usaha pembangunan rakyat dan negeri.

"Bukannya terus terusan berpolitik untuk dapatkan kuasa dan bercakaran sesama sendiri yang boleh merosakkan negara.

"Bagi saya, pilihan raya tetap akan berlaku selagi dunia belum kiamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tular bahawa PRN kemungkinan akan diadakan di Perak susulan terdapat ura-ura beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan mahu meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri selaku wakil rakyat Bebas.

Selasa lepas, tersebar surat mengenai lawatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke sekolah-sekolah di Perak.

Bagaimanapun, SPR hari ini menjelaskan perkara itu merupakan urusan semakan yang dijalankan SPR dari semasa ke semasa dan sedang berjalan di semua negeri seluruh Malaysia sejak Disember 2018 bagi tujuan melihat kesesuaian pusat mengundi sedia ada.

Terdahulu Ahmad Faizal ditemui pada majlis pelancaran ETS2 dan Pembangunan Bersepadu Stesen Kereta Api Ipoh yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama ke program itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!