Ejen tarik kereta atau sindiket curi kereta?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengkaji semula waktu operasi penarikan kereta di negeri itu.

Yang Dipertuanya, Datuk Seri Dr Fared Abd Ghani berkata, pihaknya menerima hampir 1,000 aduan mengenai isu ketidakpastian ejen yang terlibat dalam operasi penarikan kereta di negeri itu.

"Mereka (rakyat) tidak pasti sama ada individu yang datang tarik kereta itu adakah ejen yang betul ataupun sindiket curi kereta.

"Ada yang datang selepas waktu bekerja dan sebagainya. Rakyat risau untuk menyerahkan kenderaan mereka sebab itu kita mahu pihak berwajib menilai semula perkara itu dan tetapkan satu waktu bekerja dan waktu cuti supaya ia tidak menyusahkan semua pihak.

"Selain itu kita juga mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan pakaian seragam kepada ejen sah supaya rakyat lebih yakin dan dapat memberikan kerjasama dengan baik dalam setiap urusan," katanya di sini hari ini.

Beliau hadir bersama lebih 10 wakil PPIK membuat kunjungan hormat kepada pihak KPDNHEP Kelatan dan disambut oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa, Azanizam Afendi Juri di pejabat agensi itu di sini hari ini.

Fared (kiri) sewaktu mengadakan kunjungan hormat kepada pihak KPDNHEP Kelantan di sini hari ini.
Fared (kiri) sewaktu mengadakan kunjungan hormat kepada pihak KPDNHEP Kelantan di sini hari ini.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) mengenai pakaian rasmi dan waktu operasi penarikan itu membantu mendisiplinkan lagi ejen penarik kereta yang ada sekali gus mengetepikan pandangan serong dan dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain itu kerajaan juga perlu melakukan kajian menyeluruh melibatkan latar belakang agen yang terlibat supaya mereka bebas dari segala kegiatan jenayah.

"Setakat ini mengikut maklumat yang kami terima, Kelantan ada 75 individu iaitu ejen penarik kereta yang sah di sini. Jadi kita harap pihak KPDNHEP pertimbangkan apa yang dicadangkan.

"Alhamdulillah melalui pertemuan tadi, pihak agensi juga menyambut baik apa yang kami maklumkan dan akan melakukan kajian menyeluruh dari semasa ke semasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!