Festival Hujung Medini kembalikan warisan Johor yang dilupakan
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mahu mengembalikan semula semua warisan, seni dan budaya negeri itu yang semakin dilupakan dalam penganjuran Festival Hujung Medini (FHM) di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar Sabtu ini.
Akui masih ramai yang tidak tahu tentang warisan, seni, dan budaya negeri ini malah ada yang semakin dilupakan, Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata. semua elemen itu akan digabungkan dalam penganjuran FHM selama enam hari.
"Kami memang mahu mengetengahkan budaya Johor yang banyak telah pun dilupakan jadi sudah tiba masanya kita kembalikan sebab itu dalam penganjuran julung kali FHM ini ada semua elemen.
"Daripada tarian, muzik, jahitan sampai kepada makanan semuanya boleh disaksikan di sini untuk pelbagai kaum. Nama festival pun diambil dari bahasa lama iaitu Hujung Medini yang bermaksud Johor," katanya kepada pemberita pada sidang media di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar semalam.
Menurutnya, sajian warisan Johor yang terkenal sebelum ini seperti burasak, kacang pool dan wajik sirat telah pun diwartakan oleh Jabatan Warisan Negara juga akan dibawa kepada pengunjung.
"Kita ada demonstrasi makanan warisan Johor yang memang unik dan enak.
"Untuk sajian warisan ini ada lagi tiga jenis makanan yang bakal diwartakan iaitu Barongko, Harissa dan Gandos," katanya.
Demonstrasi pembuatan alat muzik tradisional seperti angklung, kompang dan gambus turut akan diadakan selain persembahan reog (barongan) serta muzikal Tari Permata Ujong Tanah.
Pelbagai pertandingan mengikut kategori turut diadakan termasuk kompang dan ghazal untuk remaja yang menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM200,000.
"Kompang, ghazal dan jahitan tulang belut antara pertandingan yang kita mahu ramai penyertaan orang muda kerana kita mahu anak muda juga terlibat dalam kesenian kita.
"Saya faham cabaran memang besar untuk menarik golongan muda bersama-sama kita memperjuangkan kesenian dan kebudayaan," katanya.
Festival berlangsung 12 Oktober hingga 17 Oktober ini bermula jam 9 pagi hingga 10 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!