Warga emas dicekup main judi mahjong
KUALA LUMPUR - Sekumpulan warga emas yang sedang asyik bermain judi mahjong di sebuah premis tingkat satu di Jalan Pudu di sini dikejutkan dengan operasi polis semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, Ops Dadu itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, seramai sembilan warga tempatan termasuk lima wanita berusia lingkungan 51 hingga 80 tahun dicekup.
"Siasatan mendapati lapan individu termasuk lima wanita terbabit adalah pemain manakala seorang lagi adalah penganjur.
"Polis kemudian merampas peralatan judi dan wang tunai RM132 serta beberapa barang lain," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, ruang di tingkat satu di atas sebuah kedai serbaneka itu dibahagi kepada dua bahagian iaitu untuk sewaan salon rambut dan kegiatan judi mahjong.
Katanya, soal siasat mendapati penganjur mengaku menyewa premis dengan bayaran RM2,700 sebulan dan telah aktif sejak enam bulan lalu.
"Polis percaya kegiatan ini beroperasi setiap hari bermula jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1963.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!