Belia perlu 'sokongan' untuk terus bersuara
SHAH ALAM - Pembangunan belia di negara ini secara keseluruhannya memerlukan sistem sokongan atau secara analoginya diibaratkan sebagai 'tongkat.'
Timbalan Dekan Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ismi Arif Ismail berkata, sistem sokongan berkenaan penting agar mereka (belia) boleh ber'suara' selain mengutarakan idea-idea bernas ke arah pembangunan negara.
Menurutnya, sistem sokongan berkenaan dilihat bakal melahirkan pemimpin belia pada masa hadapan.
"Saya kira 'tongkat' ini boleh kita samakan sebagai sokongan, dokongan selain kerjasama antara golongan dewasa dan belia itu sendiri.
"Dalam Dasar Belia Malaysia 2015 - 2035 turut dimasukkan keperluan untuk kita memperkasakan ekosistem pembangunan belia dengan menyediakan sistem sokongan supaya mereka mendapat input-input yang membina.
"Kalau tengok dari segi positif, Insya-ALLAH jadi positif, tetapi kalau 'tongkat' itu dilihat sebagai sesuatu yang mencengkam, yang mengekang kreativiti, potensi belia, ia akan jadi tongkat yang tidak baik," katanya pada Wacana Sinar bertajuk Malaysia Baharu: Sampai Bila Bela Kena 'Tongkat'? di Dewan Karangkraf malam ini.
Selain Dr Ismi, wacana ke-133 itu turut menampilkan Tokoh Belia Negara/Asean 2011, Rizan Hassan dan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Syahbuddin Hashim dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arba Faoundation, Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.
Sementara itu Dr Ismi menyifatkan Undi 18 sebagai 'tongkat' terbaharu bagi golongan belia di negara ini.
Katanya, Undi 18 dilihat sebagai kaedah terbaik bagi menaikkan isu belia agar ia dilihat serius oleh kerajaan.
"Saya lihat Undi 18 ini sebagai 'tongkat' terbaharu kepada belia.
"Bila kita dah setuju Undi 18, kita kena betul-betul perjuangkan isu berkaitan belia macam isu PTPTN, belia dan akauntabiliti, belia dan perumahan jadi isu utama.
"Isu belia juga perlu dilihat secara serius oleh mana-mana parti politik yang memperjuangkan belia. Kita nak perkasakan belia, tetapi dalam manifesto misalnya ia diletakkan di nombor 25 atau 26," katanya.
Jelasnya lagi, kita inginkan belia untuk menjadi pemimpin; bukan sahaja pemimpin di masa hadapan, tetapi pemimpin di masa sekarang (hari ini).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!