Keliru hukum wuduk apabila bersentuhan adik-beradik lelaki, perempuan
JIKA seorang suami tersentuh isterinya dalam keadaan berwuduk, maka batal wuduknya itu.
Kebanyakan orang tahu tentang hukum berkenaan, namun masih ada juga yang waswas dan keliru tentang hukum wuduk.
Antara persoalan yang dibangkitkan, adakah batal wuduk jika seorang abang kandung bersentuhan dengan adiknya?
Untuk memahami lanjut tentang wuduk, kita perlu fahami terlebih dahulu tentang mahram.
Mahram ialah wanita yang haram dinikahi oleh lelaki atau sebaliknya.
Ada yang menyebut muhrim, namun yang paling tepat adalah mahram, manakala muhrim pula bermaksud seseorang yang sedang berihram.
ALLAH SWT telah menerangkan secara jelas hukum berkahwin dengan mahram adalah diharamkan di samping ALLAH SWT menjelaskan siapakah mahram kita.
Semua itu dapat dilihat secara jelas berdasarkan firman ALLAH SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 22 hingga 24.
Adik-beradik lelaki dan wanita seibu sebapa dikira mahram muabbad iaitu haram berkahwin selama-lamanya.
Oleh itu, tiada khilaf dalam kalangan ulama jika bersentuhan antara mereka dalam keadaan berwuduk, maka ia tidak batal.
***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Duat (Murshid), pendakwah dan penulis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!