Itali kembali meniti era kegemilangan
PERTAHANAN Itali, Francesco Acerbi percaya Gli Azzurri sudah berada di era kegemilangannya dan mampu kembali menjadi sebuah pasukan gergasi dunia.
Menurutnya, impak yang dibawa pengendali pasukan, Roberto Mancini selain taktikal menyerang yang diterapkan menjadi kunci kebangkitan pasukan tersebut.
Sebelum ini, Itali mengharungi detik sukar apabila gagal layak ke Piala Dunia 2018, namun dengan kehadiran Mancini mengemudi pasukan segalanya berubah dan Itali berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan terakhir pada saingan Kelayakan Euro 2020.
"Saya suka pendekatan bola sepak yang dikembangkan oleh Mancini. Dia ingin menekan lawan, menguasai bola dan dalam masa yang sama menyerang.
"Dia (Mancini) membawa corak permainan berbeza dan menerapkan keyakinan yang tinggi dalam pasukan sehingga pemain tampil bersemangat di atas padang.
"Untuk meraih kemenangan dalam setiap perlawanan bukan mudah. Anda menang sekali atau dua kali mungkin itu adalah kebetulan. Namun jika enam kali berturut-turut bererti anda memiliki sebuah pasukan yang kuat.
"Semua pemain juga menikmati dan dapat menerima taktikal yang dibawa Mancini. Ia sempurna buat kami," katanya.
Itali kini berada di kedudukan teratas kumpulan J dalam saingan Kelayakan Euro 2020 dengan memungut 18 mata daripada enam perlawanan.
Azzurri berpeluang meneruskan rentetan kemenangan apabila bakal menentang Greece Ahad ini sebelum turun berhadapan Liechtenstein pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!