Tukang kebun berparang mengamuk depan balai polis
ISKANDAR PUTERI - Gara- gara mengalami masalah dengan isteri, seorang tukang kebun bertindak mengamuk dengan membawa parang di hadapan Balai Polis Bukit Indah di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 petang itu, suspek yang berusia 52 tahun turut membuat kecoh dan berkelakuan tidak senonoh di hadapan balai polis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kehadiran suspek disedari anggotanya ketika sedang menjalankan tugas 'prowler' di hadapan balai berkenaan.
"Suspek tiba-tiba datang ke hadapan balai berkenaan dengan membawa sebilah parang sepanjang 78 sentimeter dalam keadaan marah.
"Ketika sedang mengamuk, suspek juga menyatakan dirinya sedang mengalami masalah dengan isterinya selain memberitahu polis yang dia akan membunuh isterinya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, anggota yang berada di lokasi kemudiannya cuba menenangkan suspek tetapi suspek terus bertindak agresif selain mengugut polis untuk mencederakan dirinya menggunakan parang tersebut.
"Semasa proses tangkapan, beberapa anggota menggunakan kekerasan minima kerana suspek tidak mahu memberikan kerjasama. Polis kemudiannya turut bertindak merampas senjata tajam itu daripada tangan suspek.
"Hasil pemeriksaan di tubuh badan suspek, polis mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian badannya iaitu luka di bahagian dahi, lutut kiri dan kanan," katanya.
Katanya, ketika penahanan dibuat, suspek juga disyaki dalam keadaan mabuk.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 dan Seksyen 90 Akta Polis 1967," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!