Jemputan Astora di luar pengetahuan kerajaan, JAIPk

Asmuni ketika ditemui pemberita hari ini.
Asmuni ketika ditemui pemberita hari ini.
A
A
A

IPOH - Tindakan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) menjemput penulis kontroversi, Astora Jabat menyampaikan ucapan dalam satu programnya baru-baru ini di luar pengetahuan kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, pihaknya hanya dimaklumkan perkara itu selepas tular tetapi belum mendapat pengesahan daripada persatuan akademik IPT terbabit.

"Ia sama sekali di luar pengetahuan saya tetapi sudah dimaklumkan individu itu hadir untuk satu program di sana.

"Persatuan akademi di IPT itu juga tidak tahu siapa yang membuat jemputan. Mungkin ini di pihak pengurusan, timbalan naib cancelor perlu bertanggungjawab," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Semalam Sinar Harian melaporkan, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menyifatkan jemputan Astora itu satu tindakan tidak teliti dan menunjukkan sikap tidak menghormati institusi fatwa yang mengeluarkan keputusan terhadap penulisan individu itu berkenaan azab kubur sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan dibuat tak hormat fatwa, kata Harussani

Menerusi warta kerajaan bertarikh 29 Julai 2004, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang bersidang kali ke 161 pada 17 Disember 2003 bersetuju bahawa menolak kepercayaan azab kubur setelah wujud keterangan dari al-Quran dan sunah serta ijmak ulama adalah terkeluar daripada ajaran Islam.

Asmuni berkata, pihaknya akan menemui pengurusan IPT terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kita minta semua pihak menghormati peraturan sedia ada supaya tidak menimbulkan kecelaruan.

"Kita pun tak boleh double standard, sana peraturan lain, sini peraturan lain, jika berkaitan ceramah, perlu mendapatkan kebenaran atau kelulusan sama ada daripada JAIPk atau Jabatan Mufti," katanya.

Menurutnya, sebarang peraturan dan ketetapan yang dibuat kerajaan lebih-lebih lagi menerusi jawatankuasa fatwa perlu dipatuhi semua pihak termasuk institusi pendidikan.

Terdahulu, beliau mengiringi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan menyampaikan 29 kategori anugerah kecemerlangan kepada 106 penerima pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Peringkat Negeri Perak.

Turut berangkat di Dewan Saidina Abu Bakar Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) Ipoh., Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!