Selepas 40 tahun, wanita Iran dibenar tonton bola di stadium
TEHRAN - Selepas 40 tahun buat pertama kalinya, wanita Iran dibenarkan membeli tiket dan memasuki stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak melibatkan pasukan lelaki negara itu malam tadi.
Kebenaran mendapat akses tersebut bagaikan satu kemenangan moral kepada pejuang hak asasi wanita Iran terutamanya selepas kematian peminat fanatik Blue Girl bulan lalu.
Sahar Khodayari yang digelar Blue Girl meninggal dunia di hospital pada September lalu selepas membakar dirinya di luar mahkamah kerana bimbang akan dipenjarakan selama enam bulan setelah menghadiri perlawanan yang melibatkan pasukannya dengan menyamar sebagai lelaki.
Kaum wanita di Iran diharamkan daripada menonton perlawanan melibatkan pasukan lelaki selepas revolusi Islam 1979, dengan hanya beberapa pengecualian diberikan untuk kumpulan kecil.
Bagaimanapun ekoran tekanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan pejuang hak wanita, pihak berkuasa Iran memperuntukkan lebih 4,000 tiket bagi peminat wanita untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Kemboja di Stadium Azadi yang berkapasiti 78,000 malam tadi.
Tiket itu adalah untuk seksyen khusus bagi wanita yang menyaksikan penyokong wanita perlu masuk ke Stadium Azadi dua jam lebih awal.
Bagaimanapun keputusan pengasingan tempat duduk itu tetap mendapat kritikan beberapa pihak yang mahu melihat wanita Iran hadir bersama ahli keluarga lelaki masing-masing.
“Sekarang kerajaan telah memutuskan untuk membenarkan wanita ke stadium Azadi. Kami berharap penonton akan menghormati wanita Iran bagi mengubah persekitaran stadium,” kata laporan agensi berita Iran, Fars.
Dalam perlawanan malam tadi, Iran berpesta gol apabila membelasah Kemboja 14-0.
Kejayaan menyumbat gol demi gol itu diraikan peminat bola sepak wanita Iran yang mengibarkan bendera negara dan mengenakan pelbagai selendang dengan wajah dihiasi warna bendera kebangsaan.
FIFA dalam kenyataan ringkasnya menyebut, perkembangan di Iran sebagai satu langkah ke depan yang positif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!