Tanam 20,000 pokok bakau elak hakisan

Che Ani (kanan) bersama komuniti nelayan Kuala Tunjang menanam anak pokok bakau di kawasan tersebut yang merupakan lokasi terakhir program penanaman pokok bakau oleh Jaring di seluruh negara pada tahun 2018.
Che Ani (kanan) bersama komuniti nelayan Kuala Tunjang menanam anak pokok bakau di kawasan tersebut yang merupakan lokasi terakhir program penanaman pokok bakau oleh Jaring di seluruh negara pada tahun 2018.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 20,000 anak pokok bakau ditanam sepanjang tahun 2018 oleh Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) dengan kerjasama beberapa pihak lain dalam usaha mengelakkan hakisan di persisiran pantai di seluruh negara.

Timbalan Pengerusinya, Che Ani Mat Zain berkata walaupun berdepan kekurangan anak pokok bakau namun bukan alasan untuk pihaknya mencari dan usaha tersebut dijalankan secara gotong-royong melibatkan pelajar universiti, pekerja kilang dan komuniti setempat.

Menurutnya, penglibatan dari semua pihak secara tidak langsung dapat mendidik generasi muda tentang kepentingan mengekalkan ekosistem hutan pokok bakau yang turut menjadi sarang pembiakan hidupan air seperti ikan, udang dan ketam.

"Dana-dana yang diperolehi untuk membeli anak benih pokok bakau diperolehi sedikit demi sedikit yang dikumpulkan daripada beberapa pihak seperti kerajaan Pusat, pihak swasta dan korporat.

"Usaha penanaman ini digerakkan secara bergotong-royong di beberapa tempat yang dikenal pasti seperti di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekalkan ekosistem pokok bakau di kawasan tersebut," katanya yang ditemui di Program Penanaman Bakau Sempena Memperingati Tragedi Tsunami 2004 di Kuala Tunjang, Kerpan, Jerlun, dekat sini baru-baru ini.

Che Ani berkata, di Kuala Tunjang terdapat pokok bakau yang telah ditanam 14 tahun lalu telah berjaya menjadi benteng semula jadi dari hakisan ombak mahupun menahan angin yang kencang.

Menurutnya, program tersebut melibatkan 300 anak pokok bakau bertujuan untuk memperbanyakkan lagi pokok tersebut di Kuala Tunjang bagi memastikan ekosistem untuk habitat semula jadi terus terjaga dan menjadi lubuk untuk hidupan air.

"Berpandukan tragedi tsunami 2004, apabila di kawasan tersebut tidak ada pokok maka akan terdedah secara tidak langsung kepada ombak kuat kerana tidak ada benteng ataupun pokok semula jadi yang menghalangnya.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga mahu membina kembali kehijauan di tepi laut seluruh negara kerana hari ini banyak yang membina tembok dari batu namun kami cuma buat secara semula jadi dengan menggunakan pokok bakau," katanya lagi.

Tambahnya, sebanyak tiga buah rumah roboh di Kuala Tunjang akibat hakisan pantai disebabkan tidak ada tembok mahupun halangan dari pokok bakau sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!