39 pendaki terkandas di Gunung Sarok selamat
SETIU - Seramai 39 individu yang terlibat dalam aktiviti mendaki Gunung Sarok diselamatkan pasukan bomba selepas gagal turun akibat arus deras disebabkan hujan lebat, semalam.
Dalam kejadian jam 3.38 petang, kumpulan pendaki berkenaan diselamatkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu.
Ketua BBP Setiu, Penolong Penguasa Bomba Zull Azman Jamaludin berkata, kesemua mereka membabitkan 30 wanita dan sembilan lelaki dari Pejabat Kesihatan Pergigian Hulu Terengganu yang melakukan pendakian bermula sejak pagi semalam.
"Kami menerima panggilan kejadian jam 3.38 petang kemudian mengejarkan 11 pegawai dan anggota dengan satu pacuan empat roda, satu ambulan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan satu jentera ke lokasi.
"Kedudukan lokasi agak jauh dan pasukan bomba dari BBP Setiu mengambil masa hampir sejam untuk tiba di tempat kejadian.
"Sebaik tiba di situ, tujuh daripada 11 pegawai dan anggota naik ke atas gunung untuk membantu membawa turun mangsa terkandas di Jeram Berlumpur berikutan paras air naik sehingga melebihi paras pinggang serta arus deras dan boleh membahayakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya, pasukan penyelamat kemudian menggunakan teknik 'water crossing' dan kumpulan pendaki itu meredah jeram dengan bantuan tali sebagai langkah keselamatan.
"Perjalanan turun memerlukan pasukan penyelamat dan kumpulan pendaki itu meredah dua jeram yang paras airnya tinggi dan laju kerana hujan lebat dan kita mengambil masa kira-kira sejam untuk menjalankan kerja menyelamat," katanya turut memberitahu operasi tamat jam 6.30 petang.
Beliau turut mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dalam kejadian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!