Guan Eng bawa Belanjawan 2020 ke Parlimen untuk pembentangan
PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini membawa beg yang berisi teks ucapan pembentangan Belanjawan 2020 dari bangunan kementerian ke Parlimen pada jam 2.40 petang.
Sebelum memulakan perjalanan, bacaan doa diketuai Iman Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Ustaz Nor Azamir Alias bagi mendapatkan keberkatan.
Sebelum beredar, Guan Eng sempat mengucapkan 'terima kasih atas usaha' kepada pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan yang turut bersama sebelum beliau menaiki kereta.
Beliau diiringi Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.
Guan Eng dijadual membentangkan Belanjawan 2020 yang dinanti-nantikan di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini.
Ia adalah kali kedua beliau membentangkan belanjawan tahunan negara.
Belanjawan 2020 ini dinanti-nantikan rakyat, untuk melihat inisiatif kerajaan dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, mengurus kos sara hidup yang meningkat dan serta bersama menikmati kemakmuran negara.
Belanjawan kali ini juga dilihat akan berpandukan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yang bertujuan menyusun semula ekonomi dan jurang perbezaan antara orang kaya dan golongan miskin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!