7 individu tidak sepatutnya ditahan bawah SOSMA: Ramasamy
GEORGETOWN - Pemimpin DAP mendakwa tujuh individu yang disyaki terlibat dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE) tidak sepatutnya ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata, tujuh individu itu sepatutnya dibawa ke mahkamah dan didakwa di atas apa-apa jenayah yang mungkin dilakukan mereka bukannya penahanan tanpa perbicaraan.
"SOSMA membenarkan orang yang ditangkap ditahan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan bagi tujuan penyiasatan.
"Polis harus mendakwa mereka yang ditahan sekiranya mempunyai bukti jenayah yang mungkin dilakukan mereka," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan ditahan semalam kerana disyaki mempunyai hubungan dengan LTTE.
Ramasamy berkata, beliau dimaklumkan bahawa dua ADUN terbabit menghadiri majlis penghormatan kepada orang Tamil yang maut semasa pergolakan di Sri Lanka pada 1980-an dan tidak berpendapat mereka terlibat dalam aktiviti LTTE.
"Sokongan terhadap orang Tamil di Sri Lanka tidak sepatutnya disalah anggap sebagai menyokong LTTE.
“LTTE berbeza, urusan Tamil juga berbeza,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!